WASHINGTON, 24 DIS – Sebuah kapal tangki kimia milik Jepun yang diserang di luar pantai India semalam telah disasarkan oleh dron ‘ditembak dari Iran,’ kata Pentagon, petanda risiko yang lebih luas terhadap penghantaran komersil di luar Laut Merah.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah tembakan dron dan peluru berpandu oleh pemberontak Huthi Yaman yang disokong Iran di lorong perkapalan penting di Laut Merah sejak permulaan perang Israel-Hamas pada 7 Oktober, dengan kumpulan itu mendakwa bertindak sebagai solidariti dengan Gaza.
Serangan semalam berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan dan tidak menyebabkan kemalangan jiwa di atas kapal itu, katanya, sambil menambah api berjaya dipadamkan.
Tentera AS ‘kekal berkomunikasi dengan kapal itu ketika ia meneruskan pelayaran ke destinasi di India,’ tambahnya.
Serangan dron itu berlaku 200 batu nautika di luar pantai India, katanya, sambil menambah tiada kapal Tentera Laut AS berada di kawasan itu.
Ia adalah kali pertama Pentagon secara terbuka menuduh Iran menyasarkan kapal secara langsung sejak bermulanya perang Israel terhadap kumpulan pejuang Hamas, yang disokong Iran.
Kenyataan Pentagon berkata kapal MV Chem Pluto belayar di bawah bendera Liberia dan dikendalikan oleh entiti Belanda, walaupun kapal itu dimiliki syarikat Jepun.
Ambrey, sebuah firma keselamatan maritim, berkata ‘kapal tangki kimia/produk… adalah bersekutu dengan Israel’ dan sedang dalam perjalanan dari Arab Saudi ke India. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/12/P20-WEB-Freepik-Kapal-25122023.jpg)