Saturday, May 4, 2024
26.4 C
Brunei

    -

    Kasih sayang tunjang keluarga harmoni

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Hubungan sesebuah keluarga itu setentunya bergantung kepada ikatan kasih sayang antara ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

    “Oleh itu, binalah kasih sayang sesama ahli keluarga supaya kebahagiaan dan keharmonian akan terjalin sepanjang masa,” kata khatib semasa khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Mengukuhkan Keharmonian Keluarga’.

    Khatib menekankan keluarga harmoni itu adalah salah satu kelompok sosial yang terdiri daripada suami isteri, ibu bapa, anak pinak, cucu cicit dan sanak saudara yang sama-sama dapat merasakan senang terhadap satu sama lain dan terhadap hidup itu sendiri.

    Mereka boleh hidup dengan gembira, mempunyai objektif hidup yang jelas untuk dicapai sama ada secara individu atau bersama di samping optimistik dan mempunyai keyakinan terhadap satu sama lain, berasa selesa dengan apa yang ada dan sebagainya.

    Dalam pembentukan keluarga harmoni, katanya lagi, ibu bapa memainkan peranan paling utama dalam menyediakan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan segala keperluan yang diperlukan oleh anak.

    Selain menyediakan sumber rezeki yang halal, ibu bapa juga perlu memberi kasih sayang dengan adil dan saksama kepada anak-anak, malah memberi tunjuk ajar dan teladan terbaik kepada mereka. Khatib menegaskan kebanyakan anak-anak yang terlibat dalam masalah sosial berpunca kerana tidak mendapat kasih sayang yang sempurna.

    Selain menekankan, ibu bapa perlu memberikan didikan daripada aspek agama dan sosial yang sempurna kepada anak-anak sejak kecil lagi.

    Kasih sayang fitrah semula jadi yang Allah kurniakan dalam naluri setiap insan dan sifat kasih sayang amat penting dalam membina sebuah keluarga yang kukuh, bahagia dan harmoni. Keharmonian sebuah keluarga itu akan tercapai, apabila semua anggotanya sama-sama berusaha untuk mewujudkan keluarga harmoni.

    “Keluarga harmoni boleh dikategorikan sebagai keluarga yang mana semua anggota keluarganya berasa aman, tenteram, tenang, bahagia dan mereka saling berkasih sayang semata-mata kerana Allah di mana tanggungjawab membentuk sebuah keluarga merupakan tanggungjawab bersama,” tambahnya.

    Keluarga yang dibentuk tidak berlandaskan ajaran agama Islam, tegasnya, boleh mengundang berbagai-bagai masalah antaranya seperti berlaku penganiayaan, penyelewengan, masalah akhlak, sosial dan seumpamanya.

    Ibu bapa perlu menunjukkan contoh yang baik terlebih dahulu kepada anak-anak kerana, ibu bapa merupakan suri teladan dalam sebuah keluarga.

    Mereka juga hendaklah berinteraksi dengan sopan dengan anak-anak, apabila anak-anak melihat situasi tersebut, mereka akan meneladani sikap ibu bapa mereka.

    Selain itu, mereka juga hendaklah mengelakkan penggunaan kata-kata kesat, sentiasa mendengar keluhan dan pandangan anak-anak supaya anak-anak berasa dihargai dan disayangi.

    Khatib juga menekankan, ibu bapa hendaklah mempamerkan sikap bekerjasama dalam sama-sama mengelinga kesejahteraan anak-anak supaya anak-anak faham kesejahteraan dan keharmonian keluarga itu wujud daripada peranan kedua ibu bapa.

    Menurutnya lagi, tugas mendidik anak di zaman teknologi pesat ini sangat mencabar, sekiranya tersalah langkah pasti akan mengundang kemudaratan kepada sesebuah keluarga.

    Dalam menjadikan sebuah keluarga yang harmoni, setiap anak juga diwajibkan taat, menghormati dan memuliakan ibu bapa, tegasnya, di samping mematuhi segala perintah dan nasihat mereka selagi mana tidak bertentangan dengan syariat dan apabila berbicara, hendaklah menggunakan kata-kata yang lemah lembut serta beradab, tidak menyinggung perasaan dan menyakiti hati kedua ibu bapa.

    “Tunjukkanlah rasa terima kasih terhadap jasa kedua-dua orang tua atau yang telah mendidik dan membesarkan kita,” tambahnya.

    Khatib seterusnya mengingatkan agar anak-anak hendaklah sentiasa mengambil peduli dan bertanya khabar kedua ibu bapa walaupun anak-anak tersebut sudah berkeluarga dan tinggal di rumah sendiri.

    Anak-anak juga perlu mengambil berat dan bertanggungjawab memeduli ibu bapa lebih-lebih lagi pada ibu bapa yang sudah lanjut usianya dan memerlukan penjagaan.

    “Menjadi kewajipan anak-anak untuk meluangkan masa untuk memenuhi keperluan ibu bapa dari segi makan minum, pakaian, perbuatan, tempat tinggal dan kasih sayang sebagaimana yang diberikan kepada anak-anak sewaktu kecil,” tegasnya.

    Pengorbanan dan jasa ibu bapa yang melahirkan serta membesarkan dengan penuh kasih sayang tidak akan terbalas jasa dengan segunung emas sekalipun.

    Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan institusi kekeluargaan di negara ini, Negara Brunei Darussalam mengisytiharkan hari minggu pertama dalam bulan Mei setiap tahun sebagai Hari Keluarga Kebangsaan.

    Sambutan itu merupakan satu wadah untuk menyatukan usaha secara Whole of Nation dalam menyampaikan mesej akan kepentingan keharmonian keluarga dalam pengukuhan institusi keluarga untuk mengatasi segala cabaran terutama dalam peraduan masyarakat dan pembangunan negara.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...