Thursday, May 2, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kemarau melampau jejas kehidupan di selatan Iraq

    CHIBAYISH, IRAQ – Meskipun hari hampir berlalu, Abbas Hashem menumpukan pandangannya ke ufuk dengan penuh kebimbangan, namun tiada sebarang tanda kehadiran kerbaunya.

    Dia tahu apabila haiwannya tidak kembali dari berkeliaran di paya di bahagian Iraq ini, haiwan-haiwan itu pasti sudah mati. Tanah kering retak di bawah kakinya dan lapisan tebal garam di tanah lembap Chibayish di tengah-tengah kekurangan teruk tahun ini dalam aliran air tawar dari Sungai Tigris.

    Hashem sudah kehilangan lima ekor kerbau daripada 20 ekor sejak Mei, lemah kerana kelaparan dan diracuni oleh air masin yang meresap ke dalam paya yang rendah. Penggembala kerbau lain di kawasan itu berkata haiwan mereka juga mati, atau menghasilkan susu yang tidak sesuai untuk dijual.

    “Tempat ini dahulunya penuh dengan kehidupan. Sekarang ia adalah padang pasir, tanah perkuburan,” katanya.

    Tanah lembap, peninggalan tamadun yang subur dan kontras yang ketara dengan padang pasir yang berlaku di tempat lain di Timur Tengah diwujudkan semula selepas kejatuhan Saddam Hussein pada 2003, apabila empangan yang dibinanya untuk mengalirkan kawasan itu dan menumpaskan pemberontak Syiah.

    Penggembala kerbau mengumpulkan rumput di wilayah Dhi Qar. – AP
    Dua orang nelayan bersiap untuk bertolak ke paya Chibayish. – AP
    Kelihatan seorang lelaki mendayung perahunya di paya Chibayish. – AP
    Beberapa orang kanak-kanak dalam perjalanan ke sekolah. – AP
    Kerbau berendam di air paya Chibayish berikutan musim panas yang teruk di Dhi Qar, Iraq. – AP

    Tetapi hari ini, kemarau yang pakar percaya didorong oleh perubahan iklim dan pencerobohan garam, ditambah dengan kekurangan perjanjian politik antara Iraq dan Turkiye, membahayakan paya yang mengelilingi sungai Tigris dan Euphrates di selatan Iraq.

    Tahun ini, kekurangan air akut yang terburuk dalam 40 tahun, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian yang telah mendorong pengembala kerbau semakin dibelenggu kemiskinan dan hutang, memaksa ramai meninggalkan rumah mereka dan berhijrah ke bandar berdekatan untuk mencari pekerjaan.

    Masyarakat luar bandar yang bergantung pada pertanian dan penggembalaan sudah lama disisih daripada pegawai di Baghdad, sentiasa terlibat dalam krisis politik. Apabila kerajaan tahun ini memperkenalkan dasar catuan air yang ketat, rakyat di wilayah itu semakin terdesak.

    Iraq yang kaya dengan minyak belum membangunkan semula infrastruktur bekalan air dan pengairan negara yang usang dan harapan mencapai perjanjian perkongsian air untuk Tigris dengan negara jiran, Turkiye telah lenyap, dihambat sikap keras kepala dan sokongan politik yang sering bertentangan di Iraq.

    Di kawasan paya, di mana penternakan kerbau telah menjadi cara hidup turun-temurun, kemarahan terhadap kerajaan dapat dirasakan.

    Hamza Noor menemui kawasan di mana terdapatnya aliran air tawar. Lelaki berusia 33 tahun itu bertolak lima kali sehari dengan bot kecilnya melintasi paya, mengisi tong dengan air dan membawanya pulang untuk haiwannya.

    Antara Noor dan dua abangnya, mereka sekeluarga kehilangan 20 ekor kerbau sejak Mei lalu, katanya. Tetapi tidak seperti pengembala lain yang berhijrah ke bandar, dia tetap bertahan dan tinggal di kawasan itu.

    Ahmed Mutliq juga berkongsi perkara yang sama. Lelaki berusia 30 tahun itu dibesarkan di paya dan berkata dia pernah melihat musim kering bertahun-tahun sebelum ini.

    “Tetapi tiada apa yang dapat dibandingkan dengan tahun ini,” katanya. Dia menggesa pihak berkuasa untuk mengeluarkan lebih banyak air dari takungan di hulu, menyalahkan wilayah di utara dan negara jiran kerana ‘mengambil air daripada mereka’.

    Pegawai wilayah, yang tidak mempunyai kuasa dalam kerajaan Iraq, tidak mempunyai jawapan.

    “Kami berasa malu,” kata Salah Farhad, Ketua Pengarah Pertanian di wilayah Dhi Qar.

    “Petani meminta kami lebih banyak air, dan kami tidak dapat berbuat apa-apa.”

    Iraq bergantung pada lembah sungai Tigris-Euphrates untuk air minuman, pengairan dan sanitasi untuk keseluruhan 40 juta penduduknya. Persaingan tuntutan ke atas lembah yang terbentang dari Turki dan merentasi Syria dan Iran sebelum sampai ke Iraq, telah merumitkan usaha Baghdad untuk membuat rancangan air.

    Ankara dan Baghdad gagal mencapai persetujuan dengan jumlah kadar aliran tetap untuk Tigris. Turkiye pula terikat dengan perjanjian 1987 untuk melepaskan 500 meter padu sesaat ke kawasan Syria, yang kemudiannya membahagikan air dengan Iraq. Tetapi Ankara telah gagal memenuhi kewajipannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana paras air yang menurun, dan menolak sebarang perjanjian perkongsian masa depan yang memaksanya mengeluarkan jumlah yang tetap.

    Rancangan air tahunan Iraq mengutamakan peruntukan air minuman yang mencukupi untuk negara terlebih dahulu, kemudian membekalkan sektor pertanian dan juga menyalurkan air tawar yang mencukupi ke paya untuk meminimumkan kemasinan di sana. Tahun ini, jumlah itu dikurangkan separuh.

    Kadar kemasinan di kawasan paya semakin meningkat dengan Iran mengalihkan air dari Sungai Karkheh, yang juga disalurkan ke paya Iraq. Iraq tidak mencatat kemajuan besar dalam perkongsian sumber air dengan Iran.

    “Dengan Turkiye, terdapat dialog, tetapi banyak penangguhan,” kata Hatem Hamid, yang mengetuai jabatan Kementerian Air Iraq yang bertanggungjawab untuk merumuskan pelan air.

    Dua pegawai di jabatan undang-undang di Kementerian Luar Iraq, yang bertanggungjawab menyelesaikan aduan terhadap negara lain, berkata usaha untuk berunding dengan Iran berhubung perkongsian air telah dihentikan oleh pihak atasan, termasuk pejabat Perdana Menteri ketika itu, Mustafa al-Kadhimi.

    Keperluan Iraq amat terdesak sehingga beberapa negara Barat dan pertubuhan bantuan cuba menyediakan bantuan pembangunan untuk Iraq bagi menaik taraf infrastruktur air yang semakin usang di samping memodenkan amalan pertanian kuno.

    “Kajian Geologi Amerika Syarikat (AS) telah melatih pegawai Iraq untuk membaca imej satelit bertujuan menguatkan pengaruh Iraq dalam rundingan dengan Turkiye,” kata seorang diplomat AS. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Parlimen Korea S luluskan siasatan baharu insiden kematian Marin

    SEOUL, 2 MEI - Parlimen Korea Selatan hari ini meluluskan rang undang-undang untuk mengadakan siasatan baharu ke atas kematian orang ramai semasa Halloween 2022...