Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kenali lebih dekat mengenai ASEAN

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Jan – Seramai 600 orang pelajar Tahun 8 hingga 9 Sekolah Menengah Berakas (SMB), pagi tadi, telah mendengarkan taklimat mengenai ASEAN semasa Jerayawara Kenali ASEAN anjuran Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan ASEAN-COCI.

    Jerayawara yang diadakan di dewan sekolah berkenaan telah dihadiri oleh Pengetua SMB, Awang Abdullah bin Awang Ismail selaku tetamu kehormat majlis

    Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Unit Hal Ehwal Antarabangsa, Awang Abdul Karim bin Hamdan.

    Jerayawara yang diungkayahkan buat kali ke-3 bagi tahun ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan menyalurkan maklumat dengan lebih meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut-penuntut sekolah menengah di negara ini.

    Ia turut dihasratkan untuk meningkatkan kesedaran am pengetahuan penuntut sekolah mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana para penuntut mengetahui mengenai ASEAN dengan menanamkan kesedaran rasa milik dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai satu masyarakat ASEAN, selaras dengan moto ASEAN, iaitu ‘Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti’

    Awang Abdul Karim semasa menyampaikan taklimatnya.
    Awang Abdul Karim semasa menyampaikan taklimatnya.
    Antara pelajar Sekolah Menengah Berakas yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.
    Antara pelajar Sekolah Menengah Berakas yang hadir mendengarkan taklimat tersebut.

    Taklimat itu turut menyentuh mengenai dengan maklumat mengenai Wawasan 2035 yang wajar diketahui oleh para pelajar mengenai dengan strategi-strategi yang telah dirancang.

    Ia dapat meningkatkan kesedaran mengenai perkembangan negara di peringkat serantau dan menjadi pencetus semangat bagi mereka menjadi lebih gigih memajukan negara ini supaya Wawasan 2035 dapat direalisasikan.

    Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada 10 orang penuntut yang berjaya menjawab Kuiz ASEAN.

    Program itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan di kalangan penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan penubuhan ASEAN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda