Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Kesejahteraan orang awam diperkukuhkan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Dalam memelihara kesejahteraan awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus bertindak merangka strategi untuk memelihara kestabilan politik, mempertahankan kedaulatan negara serta menghubungkan keupayaan pertahanan dan keupayaan diplomatik dan juga persedia-an negara dalam menangani ancaman keselamatan.

    Agensi-agensi keselamatan negara akan sentiasa bekerjasama melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation iaitu dengan bekerjasama dengan orang awam dalam sama-sama menjaga kesejahteraan, keselamatan, dan keamanan Negara Brunei Darussalam.

    Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof berkata sedemikian semasa menjelaskan keutamaan pertama belanjawan negara yang didukung JPM semasa menyampaikan mukadimah belanjawan JPM bagi Tahun Kewangan 2023/2024, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin telah mengongsi beberapa inisiatif yang akan dan sedang dilaksanakan, termasuk penyewaan kenderaan dan motosikal di bawah projek Perancangan Perolehan Aset Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi PPDB, Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) untuk memastikan operasi yang lebih lancar dan peningkatan keberadaan agensi-agensi tersebut di seluruh negara
    “JPM juga akan mentauliahkan sistem pemantauan National Coastal Surveillance System (NCSS) pada tahun ini yang akan mengukuhkan lagi keupayaan agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan di Negara Brunei Darussalam untuk menumpaskan kegiatan-kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan perairan dan maritim negara,” ujarnya.

    Dari segi perundangan pula, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa mahkamah-mahkamah telah mengambil inisiatif melalui Jabatan Kehakiman Negara dengan menggunakan kaedah teknologi untuk memastikan pemprosesan kes-kes akan sentiasa berjalan sepertimana yang dialami semasa pandemik COVID.

    “Mahkamah juga akan mengambil inisiatif berterusan untuk menggunakan teknologi bagi mempercepatkan dan meningkatkan keberkesanan dalam menyelesaikan kes-kes. Pejabat Peguam Negara juga tidak ketinggalan untuk menanai kaedah teknologi agar orang ramai mendapat akses ke perundangan dan keadilan,” tambahnya.

    Di samping itu, beliau menekankan bahawa kesejahteraan orang ramai terus dipelihara melalui penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan yang tersedia yang dipantau melalui Jabatan Perkhidmatan Pengurusan.

    “Usaha ke arah mencapai sasaran meningkatkan dan memperkukuhkan kesejahteraan orang awam sepertimana digariskan dalam Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu Kualiti Hidup yang Tinggi, juga sedang giat dilaksanakan melalui pelaksanaan Social Blueprint,” ujar Yang Berhormat Pehin.

    Rangka tindakan tersebut, jelas beliau, diterajui oleh JPM dan Majlis Kebangsaan Isu-isu Sosial (MKIS) dengan mendapatkan kerjasama serta input daripada pihak-pihak yang berkepentingan, dan akan menjadi bahan rujukan kepada menyatupadukan perancangan dan tindakan pelbagai sektor dalam menangani isu-isu yang dihadapi oleh orang ramai.

    “Rangka tindakan ini jua akan saling melengkapi Manpower dan Economic Blueprint supaya apa jua tindakan dilaksanakan melalui ketiga-tiga rangka tindakan ini nanti akan sentiasa menjurus kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035 yang hanya tinggal lebih kurang 12 tahun sahaja lagi,” tambahnya.

    Menurut beliau lagi, Social Blueprint itu nanti akan diberigakan dengan sebaiknya setelah ia diluluskan supaya setiap lapisan masyarakat akan dapat mengetahui peranan dan impak tindakan masing-masing kepada mendukung usaha kerajaan menjayakannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...