Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk bersegera lebih awal ke masjid dan meninggalkan kerja masing-masing seperti berjual beli dan kerja-kerja lain bagi mendengar khutbah dan menunaikan sembahyang Fardu Jumaat.
“Setelah menunaikan sembahyang, barulah meneruskan usaha mencari rezeki dan mengingati Allah dalam segala keadaan.”
Khatib menjelaskan perkara tersebut semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini dengan tajuk ‘Keutamaan Mendengar Khutbah Jumaat’, seterusnya menjelaskan, sembahyang Fardu Jumaat adalah perhimpunan mingguan yang memberikan manfaat amat besar kepada seluruh umat Islam kerana di dalamnya ada khutbah untuk manfaat dan panduan kehidupan di dunia dan di akhirat.
Dalam khutbahnya, khatib menegaskan adalah rugi bagi orang yang lewat hadir ke masjid apatah lagi setelah imam naik di atas mimbar.
“Malah terdapat juga segelintir jemaah yang tidak sampai mendengar khutbah dan ada pula yang mendengar khutbah di dalam kereta saja,” tambahnya.
Menurut khatib lagi, masih terdapat sebilangan jemaah yang tidak menghiraukan khutbah yang disampaikan sehingga ada di antara mereka yang bercakap-cakap, bergurau senda dan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan.
Pada zaman yang serba canggih dan moden ini, tidak dinafikan pengaruh telefon bimbit seakan-akan sudah menjadi satu kemestian kerana kewujudannya banyak membantu memudahkan tugas serta pekerjaan.
Penggunaan telefon bimbit, jelas khatib, tidak menjadi kesalahan selagi tidak digunakan ke arah yang menyalahi hukum syarak. Namun, yang merunsingkan adalah penggunaannya ada kalanya boleh menyebabkan sebilangan orang lalai dan terlalu asyik sehingga mereka menggunakannya tanpa mengira kesesuaian masa dan tempat.
“Ketika khatib membaca khutbah, akan kelihatan segelintir jemaah tanpa rasa segan silu menggunakan telefon bimbit, berkomunikasi melalui applikasi sosial, melayari Internet, bermain permainan dan seumpamanya.”
Semasa khutbah Jumaat dibacakan, adalah disunatkan bagi jemaah untuk diam dan mendengar khutbah, dan makruh bagi mereka berkata-kata seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis.
Daripada hadis itu, jelas khatib, apa pun jenis kata-kata mahupun perbualan adalah dilarang sama sekali semasa khutbah Jumaat sedang dibacakan.
“Kata-kata seorang jemaah yang menyuruh seorang jemaah yang lain supaya diam dan mendengar khutbah itu sudah dikategorikan sebagai sia-sia, walaupun perbuatan itu merupakan satu suruhan ke arah kebaikan, apatah lagi kata-kata biasa atau perbualan kosong semata-mata,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah, tidak makruh ke atas orang yang mendengar khutbah Jumaat itu berkata-kata jika terdapat darurat seperti kerana hendak menyelamatkan orang buta yang hampir terjatuh ke dalam parit atau tempat binatang berbisa.
Secara kesimpulan, perbuatan menggunakan telefon bimbit semasa khatib membaca khutbah Jumaat adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah yang sedang dibacakan.
Perbuatan tersebut, tegas khatib, elok ditinggalkan kerana ia mengakibatkan kerugian yang sangat besar iaitu kehilangan pahala dan kelebihan sembahyang Fardu Jumaat.