Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kibarkan bendera, suntik semangat patriotisme

    Oleh Nurdiyanah R.

    Tidak lama lagi Negara Brunei Darussalam akan menikmati kemeriahan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-39 yang mana ia merupakan salah satu sambutan hari kebesaran negara yang dinanti-nantikan dan diraikan setiap tahun.

    Pelbagai acara utama akan dimeriahkan pada sambutan berkenaan bersama acara sampingan yang disusun bagi memperingati peristiwa penuh bersejarah. Hal ini merupakan usaha bagi mendidik seluruh lapisan rakyat dan penduduk untuk lebih bersemangat patriotik dan melahirkan perasaan cinta serta menabur bakti kepada tanah air di mana kita dilahirkan.

    Megah berkibar bendera besar negara

    Megah berkibarnya bendera besar negara di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara, baru-baru ini, menandakan bermulanya acara keraian bagi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dengan upacara utama menjelang 23 Februari nanti.

    Lazimnya ia turut diikuti dengan pengibaran bendera di peringkat daerah sebagai satu manifestasi bagi menzahirkan perasaan cinta dan kasih, rasa tanggungjawab, komitmen serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara sekali gus kepimpinan dan pemerintahan raja yang kita kasihi.

    Bersempena dengan sambutan itu, seluruh rakyat dan penduduk di negara ini adalah dikehendaki untuk mengibarkan bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam bukan hanya di rumah-rumah persendirian bahkan juga di kawasan pembinaan dan perusahaan, premis-premis perniagaan dan pejabat.

    Upacara menaikkan bendera di pusat Bandar Seri Begawan, baru-baru ini, menandakan bermulanya Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-39 bagi 2023. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk mengibarkan bendera negara.
    Bendera mini Negara Brunei Darussalam kelihatan di meja para pelajar di Sekolah St John, Kuala Belait bagi menanam sifat patriotik bersempena menyambut Hari Kebangsaan ke-39 yang bakal menjelang. – Gambar oleh Daniel Lim

    Sehubungan itu, pengiran-pengiran hendaklah mengibarkan bendera peribadi, orang-orang yang dikurniakan gelaran hendaklah mengibarkan bendera masing-masing dan bagi orang ramai hendaklah mengibarkan bendera Negara Brunei Darussalam.

    Bendera bukan sekadar kain

    Setiap negara mempunyai benderanya tersendiri, ini kerana bendera negara merupakan lambang kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara yang mana semua negara di dunia ini memiliki bendera rasmi mereka sendiri termasuk Negara Brunei Darussalam.

    Bendera negara yang berwarna kuning, putih, hitam dan panji-panji berwarna merah adalah sebagai lambang kepada kewujudan dan kedaulatan sebuah negara. Dalam pada itu, sebagai sebuah negara yang merdeka, kita sebagai rakyat perlu meningkatkan semangat patriotisme, malah semangat patriotik ini juga boleh disemai melalui penghargaan kita terhadap bendera negara. Bendera bukan sekadar sehelai kain yang dikibarkan sebagai perhiasan, bahkan ia merupakan lambang yang membuktikan kedaulatan, penghormatan dan martabat sesebuah negara.

    Kibarlah dengan teratur

    Dalam pada itu, selaku rakyat dan penduduk yang taat setia kepada kedaulatan negara, maka adalah menjadi satu kewajipan dan tanggungjawab kita untuk mengibarkan bendera dengan megahnya berserta tatacara yang betul sama ada ketika menaikkan dan memasangnya.

    Setiap bendera hendaklah diletakkan di tempat yang mulia dan terhormat kerana bendera melambangkan kedaulatan negara dan bangsa serta kibarkanlah mengikut peraturan dan cara yang telah ditetapkan dengan memastikan bendera tersebut dalam keadaan yang baik, bersih, tidak pudar dan lusuh serta masih utuh keadaannya.

    Menyentuh mengenai cara pemasangan yang betul, bendera hendaklah dikibarkan menegak menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki dengan pendakap khas tiang bendera secara 30 hingga 45 darjah bagi di kawasan beranda. Manakala bagi kawasan depan rumah gunakanlah tiang bendera tidak melebihi 20 kaki bagi bendera negara dan 30 kaki bagi bendera-bendera peribadi.

    Sementara bangunan-bangunan kerajaan atau swasta pula hendaklah menaikkan dan mengibarkan bendera negara di atas bangunan dengan menggunakan tiang bendera sepanjang 10 kaki. Bagi hadapan bangunan pula ketinggian tiang bendera tidak melebihi 20 kaki.

    Sebagai citra sejarah bangsa

    Hakikatnya, jika diamati, pengibaran bendera merupakan satu simbolik dan platform dalam menzahirkan perasaan cinta serta semangat patriotik kepada raja, negara, bangsa dan agama serta perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan serta identiti bangsa.

    Secara umumnya, bendera negara merupakan citra sejarah dan jati diri bangsa bagi sesebuah negara. Oleh itu, hormatilah dan kibarkanlah bendera kebangsaan kita dengan megahnya kera-na ia merupakan lambang identiti dan maruah negara.

    Di samping itu hendaklah sentiasa meningkatkan kesyukuran dan taat setia kepada tanah air dengan memohon doa ke hadrat Allah SWT semoga negara yang kita cintai akan sentiasa dipayungi dengan sinaran rahmat dan perlindunganNya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda