Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lapangan Terbang Tokyo uji kenderaan kargo tanpa pemandu

    TOKYO, 17 JULAI – Lapangan Terbang Haneda di Tokyo sedang menguji kenderaan tanpa pemandu untuk menarik kontena kargo dalam usaha menangani kekurangan tenaga kerja ketika jumlah pelancong yang terbang ke Jepun meningkat.

    Kenderaan di salah satu lapangan terbang tersibuk di dunia itu mampu menarik sehingga 13 tan kontena, menurut kenyataan bersama pemaju, All Nippon Airways (ANA) dan Toyota Industries.

    Ia boleh menarik sehingga enam kontena pada satu masa, bergerak antara pesawat dan bangunan lapangan terbang sejauh kira-kira dua kilometer tanpa pemandu di dalamnya.

    Kenderaan tahap 4 tersebut, yang bermaksud ia tidak memerlukan interaksi manusia dalam keadaan tertentu, walaupun pemandu manusia masih boleh mengambil alih kawalan, telah beroperasi sejak 1 Julai.

    Percubaan tersebut pertama kali dijalankan di lapangan terbang Jepun, adalah sebahagian daripada usaha yang disokong oleh kerajaan untuk menginovasi industri pengangkutan udara dan syarikat-syarikat berkenaan berhasrat untuk menjadikan kenderaan tersebut beroperasi sepenuhnya menjelang akhir tahun depan, kata mereka.

    Lapangan terbang Jepun yang lain, Kansai, yang berkhidmat untuk Osaka mendakwa tidak pernah kehilangan bagasi, tetapi negara itu menghadapi cabaran besar dalam usaha untuk menggandakan jumlah pelancong kepada 60 juta menjelang 2030.

    Jepun, yang mempunyai populasi kedua tertua di dunia, sedang menghadapi kekurangan pekerja dalam banyak sektor ekonomi keempat terbesar dunia itu.

    Tahun ini, lapangan terbang negara tersebut dilaporkan telah mengalami masalah bekalan bahan api penerbangan, mendorong kerajaan bulan lalu untuk menubuhkan pasukan petugas.

    Ujian kenderaan autonomi telah dilaksanakan di tempat lain di Jepun, dengan kerajaan membenarkan kenderaan tanpa pemandu tahap 4 di jalan raya awam sejak tahun lepas. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda