COPENHAGEN, 2 DIS – Seratus syarikat persenjataan terbesar dunia mencatatkan lonjakan ketara dalam jualan senjata tahun lepas, didorong oleh konflik di Ukraine dan Gaza, serta ketegangan global yang lebih meluas, lapor agensi akhbar Jerman (dpa).
Menurut laporan yang diterbitkan hari ini oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), jumlah pendapatan pada 2023 bagi 100 syarikat itu meningkat 4.2 peratus setelah disesuaikan dengan turun naik mata wang, dengan jumlah keseluruhan mencecah AS$632 bilion, susulan penurunan pada tahun sebelumnya.
Pendapatan senjata merujuk kepada hasil yang diperoleh daripada penjualan barangan dan perkhidmatan ketenteraan kepada pelanggan tentera di dalam dan luar negara, menurut SIPRI.
Menurut SIPRI, banyak syarikat senjata menambah pengeluaran untuk memenuhi permintaan senjata yang semakin meningkat dan meramalkan trend kenaikan jualan senjata dijangka berterusan pada 2024.
Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu menyumbang hampir separuh daripada pendapatan senjata global, meningkat 2.5 peratus kepada AS$317 bilion, menurut SIPRI.
SIPRI turut mengakui terdapat pertumbuhan ketara dalam syarikat senjata dari Rusia dan Timur Tengah.
Syarikat senjata Jerman dalam kelompok 100 teratas, empat keseluruhannya, mencatatkan peningkatan 7.5 peratus dalam pendapatan, dengan jumlah keseluruhan AS$10.7 bilion. – Bernama