Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Lebih 100 hadiri Forum W-IT

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Lebih daripada 100 orang telah menyertai Forum Women in Tech (W-IT) bersempena dengan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023, anjuran bersama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Women Techmakers Brunei di Dewan Press Conference, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Selaras dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu Inovasi Digital dan Teknologi untuk Semua atau DigitALL: Innovation and Technology, forum disertai oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, ahli-ahli Jawatankuasa Institusi Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak, rakan-rakan strategik termasuk dari sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, serta penuntut-penuntut sekolah.

    Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapan alu-aluannya menekankan mengenai keutamaan inovasi dan teknologi untuk menggalakkan lebih ramai wanita menjadi inovator dan usahawan yang mampan.

    Beliau berharap forum berkenaan dapat meningkatkan kesedaran akan penggunaan teknologi dengan cara yang berfaedah dan selamat.

    Forum dikendalikan oleh Duta Women Techmakers Brunei, Dayang Saedah binti Haji Hasnal selaku moderator dan ahli-ahli panel terdiri daripada Pengerusi InfoCom Federation Brunei (IFB) dan Pengerusi Bersama Manpower Industry Steering Committee for ICT Sector (MISC IT), Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff; Ketua Pegawai Eksekutif Progresif Sdn Bhd, Dayang Nurul Haniah binti Haji Jaafar; dan penuntut Pusat Tingkatan Enam Sengkurong, Dayang Aleeya Farhanah binti Haji Mohd Azim yang telah memenangi pertandingan Anugerah ICT Brunei 2021 dan Anugerah ICT ASIA Pasifik 2023.

    Antara isu yang diketengahkan dalam forum berkenaan ialah cabaran serta peluang untuk mengembangkan dan menggalakkan golongan wanita dan kanak-kanak perempuan untuk menceburi bidang teknologi, kepentingan penggunaan teknologi dalam semua bidang termasuklah bidang kesihatan, perniagaan dan kehidupan seharian, dan peranan teknologi membuat perubahan dan impak yang besar kepada masyarakat, termasuk peluang pekerjaan dan meningkatkan lagi kualiti kehidupan.

    Golongan wanita dan perempuan muda yang ingin menceburi kerjaya dalam bidang teknologi juga diseru agar tidak mudah berputus asa dan sentiasa berfikiran positif, dan kepentingan untuk memastikan semua lapisan masyarakat, termasuk golongan yang memerlukan, juga tidak terkecuali daripada meraih faedah teknologi, turut diketengahkan.

    Acara juga menyaksikan tayangan video mengenai pencapaian dan perkembangan wanita di Negara Brunei Darussalam dan diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada moderator dan ahli-ahli panel forum yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan hadir selaku tetamu kehormat semasa Forum W-IT.
    Barisan ahli panel forum berkenaan yang dikendalikan oleh Dayang Saedah selaku moderator.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyampaikan cenderahati kepada salah seorang ahli panel forum berkenaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Jenama rempah-ratus India diperiksa atas faktor kebimbangan kesihatan

    NEW DELHI, 3 MEI - Jenama rempah-ratus India diperiksa pihak berkuasa selepas beberapa negara menghalang penjualan produk keluaran dua syarikat kerana disyaki mengandungi etilena oksida,...