Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Syarikat Brunei Methanol Sdn Bhd (BMC) menyertai usaha global untuk melindungi persekitaran marin dengan menganjurkan pembersihan pantai di Pantai Tanjung Batu, baru-baru ini.
Inisiatif berkenaan diadakan sebagai menyokong Hari Pembersihan Pantai Antarabangsa yang membawakan tema tahun ini SeaTheChange iaitu setiap botol, setiap penyedut minuman dan setiap bahagian sampah yang awda bersihkan boleh membawa kepada lautan yang lebih bersih dan sihat.
Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada Program Gaya Hidup Sihat (HLP) bulanan BMC untuk bulan November ini.
Pada acara itu telah menyaksikan para kakitangan BMC bersama-sama sukarelawan dari Kampus Utama Politeknik Brunei dan Green Brunei, secara aktif mengambil bahagian dalam usaha berkenaan dengan membuang sampah dan serpihan dari pinggir pantai.
Turut hadir selaku tetamu khas pada acara kempen berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru; Ketua Kampung Sungai Liang, Awang Mohammad Haszrin bin Bagol; dan Ahli Lembaga BMC, Awang Ahmad Fathi bin Dato Paduka Haji Junaidi.
Sebanyak 116 beg sampah iaitu seberat 966.9 kilogram (kg) telah berjaya dikumpulkan pada kempen tersebut. Aktiviti pembersihan berkenaan meliputi sebahagian besar pantai dengan pelbagai jenis sisa, termasuk botol plastik, beg plastik dan serpihan lain yang berbahaya kepada ekosistem marin berjaya dikumpulkan.
Sebagai sebahagian daripada acara berkenaan, anugerah diberikan kepada lima kumpulan teratas yang mengumpul jumlah sampah terbanyak, sebagai mengiktiraf sumbangan luar biasa mereka kepada usaha pembersihan.
Acara berkenaan adalah sebahagian daripada strategi tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan BMC #RESPECT, yang menekankan komitmen syarikat berkenaan terhadap perlindungan alam sekitar dan penglibatan komuniti.
BMC percaya bahawa melalui usaha berterusan, sama ada besar atau kecil, masa depan yang lestari boleh terjamin untuk generasi akan datang.