MANILA, 3 NOV – Jumlah korban akibat taufan kuat yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh di seluruh Filipina mencecah 150 orang, kata pegawai bencana hari ini, ketika hujan diramal akan melanda kawasan yang paling teruk terjejas.
Lebih 355,400 penduduk meninggalkan rumah mereka, ketika ribut tropika Nalgae yang buruk melanda kawasan negara kepulauan itu pada lewat dan hujung minggu.
Daripada 150 kematian yang direkodkan agensi bencana kebangsaan, 63 kematian di wilayah Bangsamoro di kepulauan selatan Mindanao, di mana banjir kilat dan tanah runtuh memusnahkan kampung.
Agensi itu berkata, kira-kira 128 cedera dan 36 masih hilang di seluruh negara. Nalgae merupakan taufan tropika ke-16 yang melanda Filipina tahun ini. Ia melanda Catanduanes, sebuah wilayah kepulauan di wilayah Bicol, sebelum subuh Sabtu.
Dengan lebih banyak hujan diramal hari ini, agensi bencana di Bangsamoro sedang bersiap sedia terhadap kemungkinan lebih banyak kemusnahan di wilayah miskin dan berbukit itu.

“Tanah masih lagi lembap di kawasan banjir kilat dan tanah runtuh berlaku, oleh itu lebih banyak hakisan terjadi dengan cepat.
“Laluan air dan sungai yang berada di laluan banjir kilat dihalang oleh lumpur serta batu, jadi ia mudah melimpah,” kata ketua pertahanan sivil wilayah, Naguib Sinarimbo.
Presiden Ferdinand Marcos Jr menyalahkan penebangan hutan dan perubahan iklim, yang membawa insiden tanah runtuh yang buruk di Bangsamoro. Beliau menggesa pihak berkuasa menanam pokok di kawasan pergunungan yang gondol.
“Ia adalah satu perkara yang perlu kita lakukan. Kita mendengar mengenai masalah ini berkali-kali, namun kita masih terus menebang pokok.
“Itulah yang berlaku, tanah runtuh seumpama itu berlaku,” katanya dalam taklimat minggu ini.
Marcos Jr mengisytiharkan situasi bencana untuk tempoh enam bulan di wilayah yang paling teruk terkesan dan mengeluarkan dana bagi usaha pemulihan. Saintis memberi amaran, ribut yang membawa maut dan memusnahkan akan menjadi lebih kuat, ketika dunia menjadi lebih panas di-sebabkan perubahan iklim. – AFP