Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    LKIM giat kerjasama dengan Sarawak

    KUCHING, 13 OKT – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak bagi memastikan pengusaha bot dan nelayan Bahagian Kuching tidak lagi mendaratkan ikan di jeti persendirian.

    Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata sebaliknya ia perlu dilakukan di Pelabuhan Perikanan LKIM Tanjung Bako (PPLTB) yang berfungsi sebagai kompleks pendaratan ikan utama.

    “Sebab itu, kita telah buat libat urus de-ngan pengusaha kapal dan kita bekerjasama dengan kerajaan Sarawak sebab bidang kuasa untuk menutup operasi ini adalah di bawah bidang kuasa negeri.

    “Ini bukanlah bermaksud menutup terus operasi (jeti persendirian), kapal masih boleh berlabuh di situ tetapi pendaratan ikan perlu dibuat di Tanjung Bako, bukan di tempat mereka,” katanya kepada pemberita selepas program Rahmah Mesra MADANI bersama Persatuan Nelayan Sri Muara, hari ini.

    Beliau berkata pendaratan perlu dilakukan supaya PPLTB tidak menjadi projek gajah putih yang mengakibatkan kerugian bagi pihak kerajaan.

    Muhammad Faiz berkata kemodenan PPLTB menjadikan Sarawak berpotensi sebagai antara negeri peneraju industri perikanan.

    “Kita memerlukan lebih sokongan daripada vesel besar di sekitar Kuching untuk memastikan pendaratan ikan berlaku secara aktif di PPLTB, selari dengan kemodenan kemudahan di situ.

    “Kita berhasrat untuk melaksanakan beberapa pembaharuan. Sebenarnya, kita telah menetapkan syarat kapal yang mendaratkan ikan PPLTB sahaja boleh beli minyak subsidi,” katanya. – Bernama

    Muhammad Faiz Fadzil semasa menyampaikan ucapan pada Program Ramah Mesra MADANI di Dewan Masyarakat, Kampung Muara Tebas pada 13 Oktober. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda