BEIJING, 26 MAC – Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam peperangannya menentang Ukraine semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari China.
Pejabat akhbarnya kelmarin memperincikan kata-kata amaran Mahuta di Beijing, beberapa hari selepas Presiden China, Xi Jinping mengakhiri lawatannya ke Moscow, di mana Xi dan Presiden Rusia, Vladimir Putin memuji satu sama lain dan bercakap tentang persahabatan yang mendalam.
Kunjungan empat hari Mahuta, yang bermula Rabu, adalah kunjungan pertama oleh menteri luar New Zealand ke Beijing sejak 2018 tetapi ia diadakan pada masa yang janggal apabila Xi melawat Moscow pada minggu yang sama untuk memberikan dorongan diplomatik selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkata ia ingin membawa Putin ke pengadilan atas dakwaan jenayah perang.
Mengenai perang Ukraine, Mahuta mengulangi kecaman kerajaannya terhadap pencerobohan Moscow kepada rakan sejawatannya, Qin Gang.
Dia juga memberitahu pengganti Qin iaitu Wang Yi, kini pegawai dasar luar paling kanan Parti Komunis China, bahawa keamanan dan kemakmuran merupakan harapan semua pihak, menurut agensi berita rasmi China Xinhua.
Beliau dipetik mengatakan dalam laporan tersebut bahawa New Zealand menyokong penyelesaian politik perselisihan melalui dialog. Wang berkata tugas mendesak adalah untuk mencapai gencatan senjata dan menyambung semula rundingan damai, dan China akan terus memainkan peranan yang membina untuk mempromosikan penyelesaian politik, tambah agensi itu. – AP
