Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Sungkai dengan kambing panggang, ketam cili

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – YELO Cafe dan Hotel Brunei pada tahun ini mengalu-alukan orang ramai untuk berbuka puasa di sana dengan menawarkan pakej Sungkai Bufet sehingga pertengahan April ini.

    Hidangan istimewa akan ditampilkan setiap hari di sana di mana para pelanggan boleh mendapatkan kambing panggang yang dihidangkan bersama sos cendawan dan sos lada hitam. Begitu juga dengan ketam cili yang boleh didapatkan setiap hari.

    “Kami berbesar hati mengalu-alukan tetamu kembali bagi berbuka puasa bersama kami pada bulan Ramadan yang mulia ini untuk menikmati bufet kami yang telah lama ditunggu-tunggu dengan hidangan tempatan pilihan khas yang awda harapkan,” jelas Pengurus Besar Hotel Brunei, Andy Goh.

    Menu masakan yang disajikan juga akan diubah setiap hari bagi mempelbagaikan pilihan dan menarik pelanggan untuk kembali semula. Menu masakan yang disediakan sudah semestinya terdiri daripada pelbagai pilihan pembuka selera seperti cucur sayur, sate ayam, sate daging, popia dan hidangan sup seperti soto ayam.

    Hidangan utama termasuk daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan pilihan nasi, semuanya dibuat mengikut gaya masakan tempatan untuk memenuhi cita rasa dan selera pelanggan.

    Seorang kakitangan hotel menyediakan hidangan istimewa, kambing panggang.

    Minuman termasuk air teh limau ais, bandung, teh tarik dan kopi akan disediakan.

    Manakala ABC dan aiskrim juga boleh didapatkan dalam bufet berkenaan.

    Setiap tempahan seramai 10 orang akan menerima baucar YELO untuk ditebus pada kunjungan seterusnya dan satu beg tote secara percuma.

    Selain itu, YELO Cafe dan Hotel Brunei juga menawarkan Sungkai Bento yang boleh dibeli untuk dibawa pulang.

    Bagi memudahkan para pengunjung dan pelanggannya menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak, surau juga turut disediakan di tingkat satu serta tempat letak kereta percuma disediakan setiap hari untuk pengunjung di ruang bawah tanah Wisma Jaya yang terletak bersebelahan dengan hotel tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...