KAHERAH, 19 DIS – Mesir menjadi tuan rumah kepada pemimpin Turkiye dan Iran untuk sidang kemuncak lapan negara majoriti Islam hari ini, berlatarbelakangkan pergolakan serantau termasuk konflik di Gaza dan Syria.
Perhimpunan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi D-8, juga dikenali sebagai Developing-8, turut merangkumi Nigeria, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.
Satu sesi khas mengenai Gaza dan Lubnan akan diadakan, dan akan dihadiri oleh presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Sidang kemuncak itu akan menyaksikan pertemuan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, buat kali pertama sejak Presiden Syria, Bashar al-Assad digulingkan.
Mengikut sejarah Turkiye menyokong penentangan terhadap Assad, manakala Iran menyokong pemerintahannya.
Pezeshkian, yang tiba di Kaherah kelmarin, adalah Presiden Iran pertama yang melawat Mesir sejak Mahmoud Ahmadinejad, yang melawat pada 2013.
Sebelum bertolak dari Tehran beliau berkata, “Sidang kemuncak itu adalah peluang bagi negara-negara Islam untuk merapatkan pandangan kami dan ini boleh memberi kesan besar kepada diplomasi dan interaksi serantau.”
Hubungan antara Mesir dan Iran telah tegang selama beberapa puluh tahun, tetapi hubungan diplomatik semakin rancak sejak Kaherah menjadi orang tengah dalam perang di Gaza. – AFP