Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    Muhammad Adib terima 130 undian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MEI – Awang Muhammad Adib bin Pehin Datu Indera Setia Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Sulaiman telah tercalon sebagai ketua kampung baharu di Kampung Panchor, Mukim Tutong setelah mendapat 130 undian dalam Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung di Kampung Panchor, Mukim Pekan Tutong hari ini.

    Majlis tersebut tersebut telah diadakan di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong menggunakan sistem kertas undi.

    Majlis tersebut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang juga Ketua Kampung Sengkarai; Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri selaku pengerusi majlis; Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Penghulu Mukim Pekan Tutong, ketua-ketua kampung dan pemangku-pemangku ketua kampung di bawah Mukim Pekan Tutong serta penduduk Kampung Panchor.

    Daripada jumlah penduduk berdaftar dan layak mengundi iaitu 283 orang, seramai 204 orang telah mengundi untuk jawatan Ketua Kampung Panchor. Dalam jumlah tersebut, 15 orang telah menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK, manakala 189 orang menggunakan kertas undi.

    Pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada 26 Mei yang lalu. Calon-calon yang bertanding bagi jawatan Ketua Kampung Panchor ialah Awang Asmalee bin Haji Mohamad (51 tahun), Awang Muhammad Adib (32 tahun), dan Awang Mohammad Adnani bin Haji Ibrahim (54 tahun).

    Hasil pengundian dan pemilihan menunjukkan Awang Asmalee mendapatkan 29 undi, manakala Awang Mohammad Adnani memperoleh 43 undi. Keputusan pengundian dan pemilihan calon Ketua Kampung Panchor akan dibawa ke Lembaga Perjawatan, Disiplin, dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN untuk proses selanjutnya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, Awang Sahibol Omar bin Haji Yusof.

    Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Panchor yang berlangsung di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong menggunakan sistem kertas undi. – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...