Perancangan pelakon, NazriefNazri memiliki cahaya mata selepas setahun mendirikan rumah tangga termakbul apabila isterinya, Aizatul Akma hamil empat bulan.
Nazrief atau nama sebenarnya, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri berkata, dia tak menyangka perancangan memiliki cahaya mata dimakbulkan Allah secepat ini.
“Jujurnya, saya terkejut isteri memberitahu sudah berbadan dua. Sebenarnya, kami baru sahaja memutuskan mahu mempunyai zuriat selepas setahun merancang. Alhamdulillah, cepat betul Allah beri rezeki.
“Saya gembira apabila mengetahui isteri hamil, tetapi tidak mahu terlalu teruja sehinggalah kami melakukan pemeriksaan di klinik. Ketika barulah saya yakin selepas mendapat pengesahan doktor.
“Bagaimanapun, kami putuskan untuk merahsiakannya terlebih dahulu memandangkan kandungan masih baru, macam-macam boleh jadi,” katanya kepada media.

Bagaimanapun, Nazrief berkata, dia belum mengetahui jantina anak dalam kandungan, hanya akan berkongsi berita gembira pada waktu yang sesuai.
“Kandungan isteri sudah masuk empat bulan. Kali terakhir membuat pemeriksaan, kami masih belum mengetahui jantina kerana masih awal. Pemeriksaan seterusnya mungkin baru boleh tahu. Apabila sudah tahu, insya-Allah kami akan berkongsi,” katanya.
Terdahulu, Nazrief berkongsi berita gembira menerusi laman Instagram (IG).
Sebelum ini, Nazrief pernah berkongsi kini lebih aktif dengan kerjaya baharu yang membuatkan pembabitannya di kaca televisyen (TV) berkurangan. Pelakon drama Leftenan Zana itu aktif bergerak sebagai perunding takaful, pelaburan dan perancangan hartanah.
Nazrief berkata, dia mempersiapkan diri daripada pelbagai sudut seperti ilmu, agama dan kewangan.
“Saya banyak mempersiapkan diri dari segi ilmu, agama dan kewangan. Dari segi agama, saya dan isteri perlu memperbaiki kekurangan.
“Dari segi ilmu, saya dan isteri banyak membaca secara atas talian mengenai perkembangan dan pendidikan anak, malah membeli buku.
“Paling penting, dari sudut kewangan. Saya fokus pada kerjaya sebagai Pengurus Kewangan yang banyak bertemu orang ramai menjelaskan mengenai takaful dan pelaburan, manakala isteri pula mengembangkan jenama kosmetik, Angella Beauty HQ,” katanya.
Nazrief dan isterinya mendirikan rumah tangga pada 15 November 2019. – Agensi