Wednesday, December 11, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia meterai perjanjian bantu bangunkan sovereign cloud Thailand

    BANGKOK, 4 DIS – Syarikat gergasi cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia, menandatangani perjanjian dengan syarikat teknologi Thailand, SIAM.AI, hari ini untuk membangunkan ‘sovereign cloud’ pertama negara itu.

    Perjanjian itu diumumkan semasa lawatan ke Bangkok oleh Jensen Huang, CEO dan pengasas Nvidia, yang turut bersetuju untuk menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) di Thailand.

    ‘Sovereign cloud’ merujuk kepada idea di mana sebuah negara, kawasan atau komuniti mengawal sepenuhnya data mereka – termasuk di mana ia disimpan, bagaimana ia diakses dan siapa yang mengawalnya.

    Huang berkata data yang disimpan dalam ‘sovereign cloud’ Thailand boleh digunakan untuk menggerakkan ekosistem AI tempatan, seperti chatbot AI generatif yang menggunakan data Thailand.

    Sebelumnya, Huang berkata Nvidia akan bekerjasama dengan kerajaan Thailand untuk membangunkan ‘infrastruktur AI berkelas dunia’ di negara itu.

    Beliau turut menambah Nvidia akan bekerjasama dengan 40 universiti Thailand dan lebih 50 syarikat permulaan agar sekolah dan perniagaan tempatan ‘dapat mengakses AI Thailand.’

    Menurut syarikat data OpenDataSoft, kedaulatan digital cloud ‘lebih baik dalam melindungi kepentingan negara dengan mengehadkan akses pihak ketiga kepada maklumat sensitif.’

    Huang juga berkata ‘sovereign cloud’ itu boleh diterapkan dalam sektor penjagaan kesihatan, pertanian, tenaga, digital dan telekomunikasi Thailand. – AFP

    Jensen Huang, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Nvidia bercakap dengan ahli media semasa acara Siam.AI di Bangkok kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda