BARCELONA, 4 NOV – Dani Olmo menjaringkan dua gol dalam perlawanan pertamanya selepas kembali daripada kecederaan ketika Barcelona menewaskan pesaing tempatan Espanyol 3-1 kelmarin untuk mendahului sembilan mata di puncak La Liga.
Terdahulu, Atletico Madrid menang 2-0 ke atas Las Palmas dan menduduki tempat ketiga, dengan anak jurulatih Diego Simeone, Giuliano menjaringkan gol pertamanya untuk kelab itu.
Manakala, pasukan di tempat ke-dua, Real Madrid tidak beraksi selepas perlawanan mereka di Valencia ditunda kerana banjir teruk yang melanda rantau itu, Barcelona kendalian Hansi Flick terus mengukuhkan kedudukan mereka di hadapan juara bertahan itu.
Raphinha menjaringkan gol di antara jaringan Olmo ketika Barcelona mendahului tiga gol pada minit ke-31 di stadium Olimpik.
Javi Puado pula menjaringkan satu gol ketika Espanyol bergelut untuk mengelak mengalami kekalahan besar pada separuh masa kedua, walaupun tiga gol pasukan pelawat dibatalkan.
“Saya tidak berpuas hati dengan separuh masa kedua, kami hilang tumpuan, hilang ketegangan tetapi kadang kala perkara ini berlaku,” akui Flick.
“Hari ini saya terima kerana kami menang, tetapi untuk hari Rabu (dalam saingan Eropah) kami perlu berada pada tahap yang baik,” ujarnya.
Barcelona memulakan era dengan cemerlang di bawah kendalian Flick, dan selepas menewaskan Bayern Munich dan Real Madrid minggu lalu, mereka menang mudah menentang pasukan Manolo Gonzalez.
“Saya kembali, menikmati perlawanan, menang, dan saya mahukan lebih banyak lagi,” kata Olmo kepada DAZN selepas aksi pertamanya sejak pertengahan September.
Pemain bintang Barca yang ditandatangani pada musim panas ini mempamerkan prestasi cemerlang pada separuh masa pertama.
“Dia tahu cara menjaringkan gol, dan ini sangat penting untuk kami hari ini,” kata Flick kepada wartawan. – AFP