Friday, November 29, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Panggil Siti, usah Biduanita’

    Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menerima pengiktirafan Majlis Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 dengan gelaran Biduanita baru-baru ini, mengakui segan dengan panggilan itu.

    Penyanyi nombor satu Malaysia itu sebaliknya lebih selesa disapa Siti sahaja.

    “Segan dengan gelaran Biduanita, panggil sahaja Siti macam biasa.

    “Saya tetap Siti Nurhaliza yang balik ke rumah kena buat susu anak, memasak dan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu rumahtangga.

    “Saya juga masih menjual barang di TikTok kerana itu adalah tanggungjawab,” katanya pada majlis apresiasi media dan pelancaran single Sejarah baru-baru ini.

    Siti lebih selesa disapa dengan nama sendiri, bukan biduanita. – Murai

    Siti mengakui tidak pernah mengharapkan anugerah yang dianggap perkara kedua selepas bekerja keras, lapor BH Online.

    “Bagi saya anugerah akan datang dengan sendiri apabila kita bekerja keras.

    “Bukan tidak hargai watikah diberikan, saya bersyukur dan anggap suatu penghormatan yang besar.

    “Tidak terlintas pun akan diberikan pengiktirafan sebesar ini kerana saya lebih utamakan kepuasan peminat. Hati saya senang jika melihat peminat berpuas hati dan terhibur,” katanya.

    Siti sempat menitipkan nasihat buat anak muda atau artis yang mempunyai impian agar terus bermimpi dan berusaha.

    “Bermimpilah kerana setiap orang berhak untuk bermimpi dan berangan-angan. Selain bermimpi mementaskan konsert di Royal Albert Hall, London, saya juga pernah berangan mengadakan konsert sebelum usia 19 tahun dan cita-cita itu jadi menyata.

    “Anak muda atau artis yang ingin mengejar mimpi setinggi manapun perlu datang bersama usaha.

    “Jangan mudah puas atau merasa bagus tetapi sentiasa belajar untuk perbaiki kekurangan.

    “Kalau ada artis baharu yang lebih bagus, tidak salah untuk kita belajar dan berkolaborasi dengan mereka,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda