Monday, September 16, 2024
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan SAR tidak putus asa cari mangsa tanah jerlus

    KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Genap seminggu, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India tidak berputus asa dan meneruskan usaha siang dan malam bagi mencari mangsa.

    Hari ini seawal 2 pagi lagi, Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) melakukan selaman di salur kumbahan di lokasi kejadian susulan operasi sebelum ini mengesan terdapat objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua.

    Namun, dua penyelam JPBM terpaksa berdepan cabaran arus kuat dalam lurang kumbahan itu menyebabkan mereka tidak sampai ke lokasi objek yang dilaporkan tersekat.

    Pada sebelah petang tadi, anggota bomba dilihat bergilir-bergilir memasuki loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di Pantai Dalam yang difahamkan sedalam bangunan lima tingkat bagi meneruskan pencarian mangsa.

    Berdasarkan tinjauan Bernama di lokasi, tidak kurang tiga anggota bomba yang lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) menggalas tangki oksigen dan alatan pernafasan bergilir-gilir memasuki loji itu dengan setiap kali pusingan pencarian dianggarkan mengambil masa sejam.

    Biarpun berdepan cabaran gas beracun seperti gas hidrogen sulfida dan gas metana yang mudah terbakar, pasukan SAR tetap gigih melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

    Hari ini, pasukan SAR berjaya mengesan satu timbunan atau backlog sepanjang 15 meter di lurang kumbahan di Wisma Yakin, kira-kira 44 meter dari lokasi utama kejadian, hasil dua ujian pelepasan tong air yang dijalankan pada hari pertama dan kedua di lokasi berkenaan.

    Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata sekiranya timbunan itu berjaya dirungkai, keseluruhan permukaan dalam paip kumbahan akan dapat dilihat sebelum pasukan penyelam melaksanakan tugas untuk mencari mangsa.

    Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menerusi kenyataan hari ini menyatakan operasi mencari mangsa akan diteruskan sehingga ke suatu masa yang ditetapkan kelak. – Bernama

    Kerja-kerja operasi pencarian di lokasi lubang mendapan berikutan kejadian tanah jerlus yang membabitkan seorang mangsa wanita warganegara India. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda