Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    PBB: Krisis malnutrisi MENA ‘semakin teruk’

    AMMAN, 19 OGOS – Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberikan amaran hari ini mengenai ‘krisis yang semakin teruk’ berkaitan kekurangan zat makanan di Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) yang menjejaskan satu pertiga daripada kanak-kanak.

    “Sekurang-kurangnya 77 juta atau satu daripada tiga kanak-kanak di MENA mengalami beberapa bentuk kekurangan zat makanan,” kata agensi kanak-kanak PBB, UNICEF dalam satu kenyataan.

    Ia berkata bahawa 55 juta kanak-kanak di 20 negara dinilai mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti, yang dianggap UNICEF sebagai sejenis malnutrisi.

    Seramai 24 juta kanak-kanak lagi mengalami kekurangan zat makanan, termasuk tumbesaran terbantut, susut badan dan kurus kering, katanya.

    “Krisis kekurangan zat makanan yang semakin mendalam di rantau ini didorong oleh apa dan bagaimana kanak-kanak diberi makan, akses yang lemah kepada makanan berkhasiat, air bersih, rawatan perubatan dan perkhidmatan penting lain, serta peningkatan makanan berkualiti rendah yang murah, tidak sihat dan mempunyai kandungan garam, gula dan lemak yang tinggi,” tambahnya.

    Ini berlaku di tengah-tengah ‘konflik yang berterusan, ketidakstabilan politik, kejutan iklim dan kenaikan harga makanan yang bersama-sama menafikan hak kanak-kanak untuk mendapatkan makanan berkhasiat dan mengekang akses kemanusiaan kepada komuniti yang mudah terdedah’.

    Hanya satu pertiga daripada kanak-kanak kecil yang diberikan makanan berkhasiat, kata Pengarah Serantau UNICEF, Adele Khodr.

    “Ini adalah statistik yang mengejutkan pada tahun 2024 dan berisiko menjadi lebih teruk apabila konflik, krisis dan cabaran lain di rantau kita berterusan,” katanya. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda