Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    Pelajar pintar PGPN ukm aset negara berharga

    BANGI – Empat belas tahun selepas diperkenalkan pada 2009, Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kekal komited dalam meneruskan usaha mencari pelajar pintar dan berbakat di seluruh negara bagi melahirkan modal insan bernilai tinggi untuk meneruskan pembangunan negara.

    Inisiatif ini bermula selepas UKM menerima mandat daripada jemaah menteri pada 2008 agar universiti ini merancang, melaksana serta memantau program pendidikan pelajar pintar dan berbakat di seluruh negara.

    Untuk menyertai program ini, seorang pelajar harus mempunyai skor kecerdasan intelek (IQ) sekurang-kurangnya 130 dan umur mental melebihi tiga tahun berbanding umur biologi.

    “Contohnya, umur biologi pelajar adalah 11 tahun, umur mental atau akalnya minimum 14 tahun,” jelas Pengarah PGPN UKM, Prof Madya Dr Rorlinda Yusof kepada Bernama.

    Pelajar pintar aset negara

    Beliau yang telah 10 tahun menjadi pendidik, pentadbir dan kini menerajui pusat itu, berkata program tersebut berpegang pada falsafah pelajar pintar adalah aset negara yang perlu dipelihara dan diasah bakatnya semaksimum mungkin bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka ke arah menjadi pemenang anugerah nobel pada masa depan untuk negara.

    Antara pelajar KGPN UKM. – Bernama
    Pengarah PGPN UKM, Prof Madya Dr Rorlinda Yusof bersama Jared Ong (kiri) dan Muhammad Adib Rusyaidi Mohd Azilan (kanan). – Bernama
    Muhammad Adib Rusyaidi Mohd Azilan, 19. – Bernama

    Jared Ong, 18. – Bernama

    Jelasnya, program pendidikan pintar yang distrukturkan dengan kurikulum mencabar, terkehadapan dan holistik itu bertujuan membentuk kemenjadian bakat pintar yang bakal menyumbang sebagai pemimpin dunia dalam bidang kepakaran masing-masing, khususnya Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) dan penyelidikan, sebagai pemikir dan pereka cipta yang menghayati nilai kemanusiaan yang tinggi.

    Menurut Rorlinda, kira-kira 25 peratus alumni KGPN UKM berjaya melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia sejak penubuhannya, manakala baki 75 peratus menyambung pendidikan di universiti awam tempatan, khususnya UKM, dalam pelbagai bidang STEM dan sains sosial.

    “Antara universiti luar negara yang menempatkan pelajar kolej ini ialah Johns Hopkins University, Oxford University, University of Cambridge, Cornell University, Brown University, University of Chicago, University of California, Los Angeles atau UCLA serta beberapa universiti terkemuka dunia yang lain,” katanya.

    Menurut beliau, sejak penerimaan kohort pertama pada 2011, program itu telah melahirkan 1,446 pelajar pintar setakat 2022.

    Mereka yang terpilih akan melalui Ujian Saringan UKM1, UKM2 yang merupakan ujian IQ dan Ujian UKM3 yang melibatkan sesi temu bual dan ujian kompetensi STEM serta pelbagai ujian psikologi yang perlu diambil semasa mengikuti Program Pengayaan Cuti Sekolah (PPCS).

    Iktiraf sijil pendidikan pintar PGPN UKM

    Dalam pada itu, Rorlinda menjelaskan pelajar pintar dan berbakat sebenarnya memerlukan pengukuran kecemerlangan yang berbeza berbanding pelajar aliran perdana.

    Menurutnya, sepertimana pelajar berkeperluan khas, vokasional atau aliran agama yang menduduki peperiksaan kebangsaan mengikut kecenderungan mereka, pelajar pintar juga memerlukan pensijilan khusus kerana mereka adalah pelajar berkebolehan tinggi dalam bidang yang khusus.

    “Ini sejajar dengan konsep ‘pendidikan untuk semua’ yang terkandung dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan, juga kesedaran kita sebagai pendidik dalam menghayati konsep No one- size-fits-all,” katanya yang turut menegaskan keperluan institusi pendidikan tempatan di pelbagai peringkat untuk menyediakan sokongan pendidikan bagi memenuhi keperluan pelajar pintar dan berbakat.

    Mengulas lebih lanjut tentang hal itu, beliau berkata pada masa ini, pelajar KGPN UKM perlu mencatat kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti pelajar arus perdana bagi membolehkan mereka menerima penajaan untuk menyambung pendidikan di luar negara.

    “Mereka juga perlu menjalani program persediaan sebelum melanjutkan pengajian sama seperti pelajar lepasan SPM dalam arus perdana, walaupun telah ditawarkan terus ke tahun satu di universiti luar negara. Kebanyakan tajaan biasiswa masih meletakkan syarat SPM cemerlang sebagai kriteria utama dan ini menjadi kekangan bagi mereka,” ujarnya.

    Beliau yang berulang kali menekankan keperluan aspek sokongan penajaan bagi membuka laluan akademik pelajar pintar, berkata sudah tiba masa untuk pihak industri dan juga institusi yang memberi tajaan melihat kepada bakat pintar negara dengan menimbangkan kelayakan menerusi Sijil Pendidikan Pintar yang mengukur kepintaran dan bakat sebenar pelajar-pelajar ini.

    Perluas tajaan untuk pelajar pintar

    Di samping itu, Rorlinda bersyukur kerana setakat ini Maybank Group Scholarship Programme (MGSP), Yayasan Gamuda dan MyBrainSc, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia menawarkan tajaan atau biasiswa dengan keluwesan syarat yang sesuai dengan pelajar pintar dan berbakat, sama ada berdasarkan Sijil GENIUS@Pintar High School Diploma (HSD) atau ujian bakat ilmiah (Scholastic Aptitude Test – SAT).

    Tambah beliau, penajaan dari dalam negara untuk pelajar pintar amat penting bagi memastikan mereka kembali dan berkhidmat di Malaysia selepas tamat pengajian.

    “Kita perlu pastikan aset pintar negara yang dibina dari kecil ini berkhidmat dalam negara dengan menawarkan mereka biasiswa, kerana disebabkan mereka mahu pendidikan terbaik, mereka akan terima sebarang bantuan kewangan daripada institusi asing termasuk geran universiti untuk menyambung pengajian mereka.

    “Apabila mereka menerima tawaran-tawaran penajaan luar begini, maka kita perlu bersedia untuk kehilangan bakat-bakat ini kerana mereka akan menyambung bekerja di luar negara memandangkan tiada ikatan perjanjian untuk mereka kembali berkhidmat dalam negara,” katanya, menambah ini merupakan satu kerugian besar dalam konteks pelaburan modal insan negara.

    Ulas beliau, negara pernah mengalami “ketirisan bakat” dalam kalangan pelajar pintar pada era 1980-an hingga 1990-an kerana tidak ada program pendidikan pintar yang berstruktur untuk menyokong keperluan pendidikan pelajar kognisi tinggi.

    “Namun kini, setelah negara berjaya membentuk dan menghasilkan kemenjadian holistik pelajar pintar mengikut acuan negara berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sehingga kepintaran mereka diiktiraf dan berjaya mendapat tawaran tempat pengajian di universiti terkemuka dunia, isu pembiayaan pengajian masih belum dapat diselesaikan, dan tidak mustahil negara akan kehilangan bakat-bakat yang telah dipupuk dan diasah kepintarannya kepada negara-negara lain.

    Tambah beliau, institusi itu sedang berusaha membentuk pelajar KGPN UKM agar berjaya melanjutkan pengajian ke 20 universiti terbaik dunia termasuk Ivy league antaranya Harvard University, Yale University, Princeton University, Columbia University dan Cornell University.

    Tawaran pengajian luar negara

    Sementara itu, Rorlinda menyatakan baru-baru ini beberapa pelajar KGPN UKM telah ditawarkan mengikuti program ijazah sarjana muda di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia dengan menggunakan Sijil HSD yang dikeluarkan oleh PGPN UKM.

    Seorang daripada mereka ialah Jared Ong, 18, yang sedang menduduki SPM 2023.
    Menurut remaja itu, dia menerima tawaran daripada dua universiti, iaitu University of Wisconsin Madison, AS dan University of Manchester, UK.

    Dia memilih University of Manchester kerana ditawarkan laluan akademik fast track, iaitu gabungan ijazah sarjana muda dan sarjana dalam sains biokimia dalam pengajian selama empat tahun bermula September depan.

    “Tidak sangka saya dapat tawaran dua universiti terutamanya daripada University of Manchester. Saya sangat bersyukur dan gembira kerana melanjutkan pengajian ke luar negara adalah satu impian sejak belajar di sini (KGPN UKM).

    “Saya mahu meluaskan pengetahuan untuk mendapat pengalaman yang baharu dan bekerjasama dengan pakar-pakar. Satu hari nanti, saya boleh bawa balik kejayaan ini ke Malaysia dan berbakti untuk negara,” kata Jared yang berminat dalam bidang sains sejak berumur tujuh tahun dan biokimia pada umur 14 tahun.

    Dia juga mengharapkan ada pihak yang bersedia menaja pengajiannya itu yang akan menelan belanja hingga RM159,788.13 tidak termasuk perbelanjaan harian.

    Bagi Muhammad Adib Rusyaidi Mohd Azilan, 19, yang akan melanjutkan pengajian di College of Agriculture & Life Science, University of Wisconsin Madison, AS pada Ogos nanti, dia sedang membuat persiapan dari segi mental, fizikal dan rohani selain membina jati diri bagi menghadapi kehidupan sebagai pelajar di luar negara.

    Dia yang ditawarkan biasiswa di bawah MyBrainSc KPT menasihati semua pelajar, khususnya mereka yang menuntut di KGPN UKM, agar tidak mudah berputus asa walaupun berdepan laluan berliku untuk sampai ke destinasi yang diimpikan.

    “Ya, kita harus terus mencuba dan tidak takut untuk buat keputusan. Walaupun saya menerima tawaran biasiswa lewat dan terpaksa menangguh pengajian setahun, saya tidak putus asa malah mengikuti kursus ASASI pintar UKM untuk membina jati diri,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...