Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pelihara, cerdaskan minda dengan tadabbur Asmaul Husna

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Institut Perkhidmatan Awam (IPA) telah menganjurkan Ramadhan Talk Series dengan membawa tema berjudul Kecerdasan Minda Melalui Asmaul Husna di institut berkenaan kelmarin.

    Ramadhan Talk Series merupakan program tahunan yang diungkayahkan oleh IPA setiap bulan Ramadan.

    Program itu dimulakan dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Penolong Profesor Fakulti Usuluddin Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Sarinah binti Haji Yahya di mana beliau mengongsikan bagaimana penghayatan Asmaul Husna serta surah-surah Al-Quran boleh meningkatkan kecerdasan minda.

    Ramadhan Talk Series juga memuatkan sesi perbincangan forum mengenai tema program yang mengetengahkan penceramah utama dan ahli panel lain iaitu Pegawai Kaunselor Kanan dari Jabatan Perkhidmatan Awam, Haji Amir Shukri bin Haji Zawawi dan ahli psikologi dari Jabatan Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan, Hajah Rozailah binti Haji Abdul Rahman.

    Sesi forum turut menyentuh beberapa perkara penting dan kritikal seperti keperluan penjagaan kesihatan minda, kesan atau impak kepada minda yang terjejas dan bagaimana meningkatkan kecerdasan minda dalam kalangan warga perkhidmatan awam dalam memastikan kecekapan menghadapi cabaran kerja seharian.

    Program berkenaan yang dianjurkan secara fizikal dan dalam talian telah dihadiri hampir 200 orang peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan juga sektor swasta.

    Antara objektif tema yang dihuraikan adalah untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai keutamaan Asmaul Husna dalam membentuk kecerdasan minda serta keseimbangan emosi dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

    Selain itu, program tersebut juga diharap dapat memberikan panduan dan amalan berasaskan Asmaul Husna untuk menguatkan daya fikir, kreativiti serta ketahanan mental bagi meningkatkan lagi prestasi kerja dan kesejahteraan diri.

    Suasana semasa forum berlangsung. – GAMBAR SERAHAN IPA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda