Tuesday, September 17, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemilihan kepimpinan parti pembangkang utama Jepun bermula

    TOKYO, 8 SEPT – Parti pembangkang terbesar Jepun, Constitutional Democratic Party (CDP) secara rasmi mengadakan pemilihan untuk memilih barisan kepimpinan baharu parti kelmarin, lapor Xinhua yang memetik laporan media tempatan.

    Empat anggota CDP, termasuk bekas perdana menteri dan dua ahli parlimen yang pernah menerajui parti itu menyerahkan pencalonan mereka untuk pemilihan yang dijadualkan berlangsung pada 23 September ini, menurut laporan Kyodo News.

    Antara tokoh yang mencalonkan diri termasuk Yoshihiko Noda, 67, yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun dari 2011 hingga 2012, Yukio Edano, 60, yang menerajui CDP sejak ia ditubuhkan pada 2017 sehingga 2021 serta penggantinya, penyandang ketua, Kenta Izumi, 50.

    Ahli Parlimen Dewan Perwakilan penggal pertama, Harumi Yoshida, 52, menjadi tambahan terakhir dalam senarai pencalonan dan merupakan satu-satunya calon wanita yang bertanding.

    Kempen selama 17 hari itu dijangka memberikan tumpuan kepada cara untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain berikutan jangkaan pilihan raya umum awal mungkin diadakan pada musim luruh ini.

    CDP menyasarkan untuk merampas kuasa daripada blok pemerintah yang diketuai Parti Liberal Demokratik, menurut laporan itu. – Bernama

    Gambar Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda