Sunday, May 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Penyokong rai kemenangan Senegal

    DAKAR, 8 FEB – Pasukan Senegal tiba di tanah air kelmarin selepas memenangi Piala Negara-Negara Afrika (AFCON), dan disambut ratusan ribu penyokong yang teruja, menurut wartawan AFP.

    Sekumpulan besar penyokong turun ke lapangan terbang tentera di ibu negara Afrika Barat Dakar, meniup vuvuzela dan mengibarkan bendera, untuk meraikan kemenangan itu.

    Presiden Macky Sall sedang menunggu di lapangan terbang untuk menyambut para pemain yang kembali, yang kemudiannya diarak melalui jalan-jalan yang sesak sambil duduk di atas bas, dalam perjalanan ke istana presiden.

    Diketuai oleh bintang Liverpool, Sadio Mane, Senegal mengatasi Mesir kendalian Mohamed Salah 4-2 dalam penentuan sepakan penalti pada final Ahad lalu di Cameroon. Perlawanan berakhir tanpa jaringan selepas masa tambahan.

    Kemenangan itu menandakan kejayaan pertama Senegal dalam kejohanan itu dan mencetuskan sambutan meriah di seluruh ibu kota yang mempunyai tiga juta penduduk Ahad lalu yang bersambung hingga kelmarin.

    Kerajaan telah mengisytiharkan kelmarin sebagai hari kelepasan am untuk meraikan kemenangan tersebut.

    “Ini adalah detik yang tidak dapat dilupakan yang akan kekal selama-lamanya,” kata Die Mbaye, seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun berhampiran istana presiden, yang hampir tidak dapat didengari disebabkan laungan penyokong.

    Memakai jersi Senegal dan dengan bendera yang melekat di rambutnya, Mbaye menambah: “Kami berhak mendapatnya, kami telah menunggu selama 60 tahun.”

    Mamadou Bocoum, seorang pelajar berusia 24 tahun yang berdiri berhampiran, juga bersemangat. “Hidup kami akan berubah,” katanya kepada AFP. – AFP

    Pasukan Senegal tiba di tanah air kelmarin selepas memenangi Piala AFCON dan disambut ratusan ribu penyokong yang teruja. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...