Tuesday, September 17, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Perancis tewaskan Belgium dengan gol Kolo Muani, Dembele

    LYON, 10 SEPT – Randal Kolo Muani dan Ousmane Dembele menjaringkan gol menewaskan Belgium 2-0 dalam Liga Negara-Negara UEFA kelmarin.

    Perancis bangkit daripada kekalahan mengecewakan di tempat sendiri setelah tumpas 3-1 kepada Itali pada hujung minggu lalu walaupun telah mendahului pada awal permainan.

    Ia bukanlah pasukan Perancis yang mempunyai kekuatan penuh yang turun ke padang untuk perlawanan di Lyon, dengan kapten Kylian Mbappe tercicir sebagai salah satu daripada lapan pertukaran yang dibuat oleh jurulatih Didier Deschamps.

    Keputusan itu memberi sedikit kelegaan buat Deschamps selepas pasukannya beraksi hambar ketika menentang Itali.

    “Jelas sekali saya sangat gembira dengan reaksi kami, dan apa yang kami mampu lakukan menentang pasukan Belgium yang sangat bagus dan telah menimbulkan masalah kepada kami dalam 20 minit pertama, mungkin kerana kami agak gelisah berdasarkan konteksnya,” kata jurulatih itu, yang nama telah diejek oleh beberapa bahagian orang ramai apabila pasukan diumumkan.

    “Tetapi persembahan kami pada hari Jumaat bukanlah yang terburuk dan saya tidak akan mengatakan semuanya kini indah, semuanya telah ditetapkan,” tambahnya.

    Les Bleus mendahului permainan sejurus sebelum tamat setengah jam, Kolo Muani menjadi penyudah selepas rembatan Dembele ditepis keluar oleh penjaga gol Belgium, Koen Casteels.

    Pasukan Belgium yang diketuai oleh Kevin De Bruyne tidak menemui gol penyamaan dan Perancis menjaringkan gol sekali lagi pada minit ke-57 hasil percubaan individu yang baik oleh Dembele.

    Pemain sayap Paris Saint-Germain itu meluru masuk dari sayap kanan sebelum meledakkan rembatan ke jaring di kaki kirinya.

    Mbappe, Antoine Griezmann dan Michael Olise adalah antara pemain yang dimasukkan dari bangku simpanan pada separuh masa kedua setelah pasukan berasa yakin untuk menang.

    Perlawanan seterusnya adalah pada bulan Oktober, termasuk Itali menentang Belgium di Rom, dan Israel bertemu Perancis di wilayah neutral di Budapest. – AFP

    Reaksi Ousmane Dembele selepas menjaringkan gol kedua Perancis menentang Belgium semasa Liga Negara-Negara UEFA di Parc Olympique Lyonnais, Lyon kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda