Saturday, May 4, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Persiapan Aidilfitri masyarakat Orang Asli di pedalaman tetap meriah

    GUA MUSANG – Biarpun menetap di kawasan pedalaman, persiapan menyambut Hari Raya dalam kalangan masyarakat Orang Asli di daerah ini tidak kurang meriahnya.

    Wanita Orang Asli berdarah campuran Melayu-Semai dari Kampung Lambok di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, Siti Norsyakila Kamarzaman, 35, berkata kemeriahan suasana hari raya mula dirasai pada pertengahan puasa dengan masing-masing sibuk menyediakan baju baharu dan biskut raya sebelum kemuncaknya pada malam terakhir Ramadan.

    “Pada minggu terakhir Ramadan pula mereka akan membersihkan rumah serta berbincang menu juadah raya untuk dihidangkan kepada tetamu.

    “Menu makanan raya kita akan berbincang dengan keluarga seminggu sebelum raya untuk memudahkan penyediaan bahan-bahan dengan lebih awal. Antara juadah tradisional Orang Asli yang disediakan adalah lemang tepung dan lemang ubi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Siti Norsyakila berkata dia akan membakar lemang pada hari terakhir puasa dan mengadakan majlis rumah terbuka serta menjamu selera dengan juadah raya seperti rendang ayam dan gulai ayam pada malam raya.

    Siti Norsyakila memasang langsir sebagai persediaan awal untuk menyambut Lebaran di rumahnya di Kampung Lambok di RPS Kuala Betis, Gua Musang. – Bernama

    Menurutnya, sebilangan besar penduduk di RPS Kuala Betis merupakan Orang Asli beragama Islam, justeru penduduk akan mengadakan solat raya sebelum melakukan aktiviti ziarah seperti kelaziman pada Syawal pertama.

    “Masyarakat kami tidak biasa dengan permainan bunga api walaupun menjelang hari raya tetapi kemeriahan tetap dirasakan dan kita tetap gembira dengan cara kita,” katanya.

    “Sambutan sangat berbeza apabila beraya bersama keluarga bapa yang berketurunan Melayu dan ibu saya daripada suku kaum Semai,” katanya.

    Siti Norsyakila berkata pada tahun ini, dia dan suami Kamariza Kimtai Abdullah, 47, menyediakan RM800 untuk perbelanjaan kelengkapan raya termasuk penyediaan juadah dan duit raya untuk ahli keluarga.

    “Hari Raya akan disambut secara sederhana sama seperti Tahun Baharu Cina yang baru disambut Februari lepas bersama keluarga suami yang merupakan Orang Asli dari Pahang berketurunan Jakun-Cina,” katanya.

    Siti Norsyakila yang telah kematian bapanya Kamarzaman Hussin lebih 20 tahun lepas berkata selain bersama suami dan empat anak, dia juga akan menyambut Aidilfitri dengan ibunya Uda Zainon Panjang Ey, 57. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...