Sunday, May 5, 2024
22.5 C
Brunei

    -

    PM Jepun ikrar percepat suntikan penggalak

    TOKYO, 7 FEB – Perdana Menteri Jepun hari ini berjanji untuk menggandakan jumlah suntikan penggalak COVID-19 yang dihantar setiap hari ke seluruh negara berkenaan, ketika kerajaannya berdepan kritikan berhubung penangguhan pemberian vaksin.

    Bercakap kepada ahli perundangan, Fumio Kishida berkata pihak berkuasa berhasrat untuk menghantar sekitar 1 juta dos penggalak sehari pada hujung Februari ini.

    Pemimpin itu berkata dos tambahan itu adalah ‘kunci’ untuk memerangi peningkatan jangkitan Omicron.

    Undian media baru-baru ini menunjukkan rating Kishida jatuh buat pertama kali sejak beliau dilantik menjadi perdana menteri pada Oktober, dengan ketidaksetujuan terhadap langkah virusnya meningkat serta ramai responden mengadu tentang vaksinasi penggalak yang perlahan.

    Kurang 5 peratus penduduknya setakat ini menerima suntikan dos ketiga vaksin koronavirus.

    Jepun yang melancarkan program penggalak pada Disember, sudah jauh ketinggalan dari negara membangun lain dalam mengagihkan dos kedua.

    Sekitar 80 peratus penduduk telah lengkap menerima dua dos vaksin.

    Kishida berkata kerajaannya berhasrat untuk menginokulasi semua warga emas yang berharap untuk mendapatkan suntikan penggalak pada hujung Februari ini sebelum dilaksanakan ke atas orang muda pada Mac.

    Untuk mempercepatkan pemberian dos penggalak, kerajaan Kishida minggu lalu melancarkan pusat inokulasi besar-besaran yang dijalankan oleh pasukan bersenjata Jepun di Tokyo dan akan membuka pusat serupa di Osaka minggu depan.

    Para pegawai telah meminta syarikat-syarikat besar untuk memulakan pemberian suntikan di tapak kerja sekitar pertengahan Februari ini. – AP

    Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida semasa menghadiri sesi jawatankuasa bajet mengenai langkah-langah koronavirus di parlimen Tokyo pada 7 Februari. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...