PARIS, 4 OGOS – Peninju Algeria, Imane Khelif mendapat sokongan dari negara asalnya di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai isu jantina dalam acara tinju wanita Olimpik, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Khelif, yang hilang kelayakan di kejohanan dunia wanita 2023 kerana tidak memenuhi syarat kelayakan jantina, kini memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman selepas menewaskan Anna Luca Hamori dari Hungary dalam suku akhir 66 kilogram kelmarin.
“Awda telah mengharumkan nama Algeria, wanita Algeria dan tinju Algeria. Kami akan sentiasa menyokong awda, tidak kira apa pun keputusan awda. Semoga berjaya dalam dua pusingan seterusnya,” tulis Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune di platform media sosial X.
Khelif, 25, menerima sorakan dari ramai peminat Algeria semasa kemenangan suku akhir beliau menentang Hamori dari Hungary. Beliau kelihatan sangat emosional selepas pertarungan itu. Selepas wawancara TV singkat, Khelif dibantu ke bilik persalinan dengan dibalut bendera Algeria.
Terdapat perdebatan sengit mengenai Khelif dan Lin Yu-Ting dari Taiwan mengenai hak mereka untuk bertanding di Sukan Paris.
Kedua-dua atlet ini menyertai Sukan Tokyo tiga tahun lalu dan kalah dalam pertarungan dengan pesaing wanita lain. – Bernama