Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Presiden Laos akhiri lawatan negara

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith dan isteri, Naly Sisoulith serta rombongan, bertolak meninggalkan Bandar Seri Begawan selepas menamatkan lawatan negara selama tiga hari ke Negara Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada TYT Thongloun Sisoulith dan is-teri serta rombongan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Menteri Pengiring dan isteri, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof dan isteri, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan isteri.

    Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Sengdavanh Vongsay dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan isteri serta Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan isteri.

    Ini merupakan lawatan negara yang pertama TYT Thongloun Sisoulith sejak dilantik sebagai Presiden Republik Demokratik Rakyat Laos pada 22 Mac 2021. Semasa lawatan negara itu, beliau telah mengadakan Majlis Perjumpaan Dua Hala bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana kedua-dua pemimpin telah mengalu-alukan peningkatan kerjasama dua hala yang sedia ada di antara kedua-dua buah negara dalam bidang pendidikan, kebudayaan, belia dan sukan, serta penerokaan peluang-peluang kerjasama yang baharu termasuk melalui penglibatan sektor-sektor swasta.

    Dua memorandum persefahaman (MoU) di antara kedua-dua buah negara telah ditandatangani dalam bidang pertanian dan tenaga.

    Selain itu, Tuan Yang Terutama turut mengadakan perjumpaan bersama para pegawai kanan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Brunei LNG serta menghadiri Investment and Business Forum.

    Majlis Sambutan Rasmi dan Majlis Santap Negara juga diadakan bagi meraikan lawatan negara Tuan Yang Terutama dan isteri serta rombongan.

    Hubungan akrab di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos telah lama terjalin di mana kedua-dua buah negara akan memperingati ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik pada 2023.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada TYT Thongloun Sisoulith dan isteri serta rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...