Thursday, May 2, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Projek naik taraf loji rawatan air bakal atasi isu air

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 MEI – Isu gangguan bekalan air dan air kekuningan di negara ini bakal diatasi susulan penandatanganan kontrak untuk menaik taraf loji rawatan air pada majlis penandatanganan kontrak projek-projek di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berlangsung di JKR, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan kontrak ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim dalam kata alu-aluannya menjelaskan bahawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Daerah Brunei dan Muara seperti RPN Lambak Kanan, Subok, Lumapas dan masalah air kekuningan kian meningkat.

    Kekerapan perubahan cuaca, hujan berterusan dan banjir di sekitar tadahan Sungai Tutong sering mengakibatkan peningkatan kandungan mineral seperti mangan dan zat besi yang
    melebihi had keupayaan rawatan reka bentuk asal Loji Air Bukit Barun Peringkat 4 dan 5 yang telah beroperasi hampir 30 tahun.

    Untuk perancangan jangka pendek, jelasnya, JKR sedang melaksanakan projek menaik taraf Loji Rawatan Air Bukit Barun Peringkat 4 dan 5, yang mana fasa 1 projek telah pun siap dan fasa 2 sedang dijalankan pada masa ini.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai semasa majlis penandatanganan berkenaan. – Gambar serahan JKR

    Melalui Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11, beberapa projek sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu bekalan air dan masalah air kekuningan di mana salah satu projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun
    Peringkat 8.

    Ir Haji Mohd Salleh berkata, setelah siap dan beroperasinya loji rawatan air itu nanti, masalah kekurangan kuantiti dan kualiti air bersih akan dapat diatasi.

    Pada majlis itu, projek-projek yang ditandatangani ialah Projek Meningkatkan Taraf Loji Rawatan Air – Pembinaan Loji Rawatan Air Bukit Barun Peringkat 8 di mana kontraktor bagi projek itu ialah Surati Construction Sdn Bhd dengan harga projek berjumlah $48,880,819.80.

    Tempoh bagi projek itu ialah 36 bulan di mana projek bermatlamat untuk membekalkan air bersih pada kadar maksimum 120 juta liter sehari bagi menampung keperluan yang semakin meningkat serta memberikan bekalan yang berterusan bagi Daerah Brunei Muara dan Tutong.

    Projek kedua yang ditandatangani ialah Projek Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA)-Earthworks and Infrastructure Works yang mana kontraktor bagi projek itu ialah Thong & Thing Sdn Bhd dengan harga kontrak berjumlah $33, 976, 353.19.

    Tempoh bagi projek itu ialah 24 bulan dan ia berobjektif untuk menyediakan platform bagi semua bangunan UNISSA dan penyediaan infrastruktur utama seperti jalan raya, pembekalan air, elektrik, pembetungan, saliran, telekom dan sebagainya.

    Skop kerja juga termasuk pembersihan tapak, kerja-kerja penyelidikan tanah, earthworks dan kerja perlindungan lereng.

    Manakala itu, projek ketiga yang dimeterai ialah Projek Bangunan Tambahan Sekolah-sekolah: Sekolah Menengah Menglait di mana kontraktor bagi projek itu ialah Tekad Fajar Sdn Bhd dengan harga kontrak berjumlah $2,683,000.

    Tempoh bagi projek ialah 12 bulan untuk menyediakan blok tambahan bagi bangunan teknikal dan sains.

    Skop termasuk pembinaan bangunan baharu dua tingkat dengan kerja-kerja minor earthworks, surface water and foul drainage, external water supply dan pemasangan mekanikal dan elektrik yang berkaitan.

    Kontrak bagi ketiga-tiga projek berkenaan telah ditandatangani antara pemangku ketua pengarah kerja raya, pemangku pengarah perkhidmatan air, pengarah kemajuan serta wakil-wakil kontraktor yang dilantik.

    Kesemua penandatanganan disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi dan majlis diteruskan dengan penyerahan dokumen kontrak-kontrak disusuli dengan pameran serta taklimat ringkas projek-projek tersebut.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Pemangku Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Pemangku Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah JKR, Kementerian Pembangunan.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bangladesh catat suhu paling panas bulan April

    DHAKA, 1 MEI - Biro cuaca Bangladesh berkata hari ini bahawa bulan lalu merupakan bulan paling panas dalam rekod, dengan negara Asia Selatan dan...