Friday, January 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Promosi kaedah penyelesaian pertikaian alternatif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Dengan matlamat untuk mempromosikan dan mendidik mengenai kaedah penyelesaian pertikaian secara alternatif (ADR) serta manfaatnya, Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) mengadakan jerayawara mengenai ADR di Daerah Brunei dan Muara yang berlangsung di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BDAC, di sini, jerayawara yang dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, penghulu mukim, pemangku penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pemangku ketua-ketua kampung itu memberikan penekanan khusus kepada kaedah perantaraan dan timbang tara serta memperkenalkan BDAC sebagai pusat yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian melalui kaedah-kaedah berkenaan.

    Taklimat berkenaan juga mengongsikan pandangan yang komprehensif tentang mekanisme ADR serta kaedah-kaedah yang dapat memudahkan penyelesaian dengan cepat, kos yang berpatutan dan mencapai penyelesaian pertikaian secara baik.

    Semasa jerayawara berkenaan, wakil-wakil BDAC menerangkan kelebihan bagi penggunaan ADR, termasuk pemeliharaan hubungan, fleksibiliti, kerahsiaan kes, dan keupayaan untuk mencapai penyelesaian mengikut keperluan khusus kepada pihak-pihak yang terlibat.

    Taklimat diteruskan dengan sesi soal jawab dan membuka peluang bagi para hadirin mendapatkan penjelasan dan berkongsi pengalaman bersama pegawai-pegawai BDAC.

    Selepas kejayaan pelancaran jerayawara berkenaan di Daerah Brunei dan Muara, BDAC merancang untuk melaratkan jerayawara kesedaran ADR ke daerah-daerah lain dan mempromosikan penggunaan penyelesaian pertikaian secara alternatif.

    BDAC ditubuhkan dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan perantaraan dan timbang tara untuk memenuhi keperluan pengguna domestik dan antarabangsa.

    Pusat itu dilengkapi dengan kemudahan moden dan panel perantara dan penimbang tara yang berpengalaman dan berdedikasi untuk mempromosikan penyelesaian yang adil, tidak berat sebelah, dan cekap bagi individu dan perniagaan.

    Antara yang hadir pada sesi yang berlangsung di Dewan Teater, Pejabat Daerah Brunei dan Muara, kelmarin. – Gambar serahan BDAC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda