Sunday, May 5, 2024
29.6 C
Brunei

    -

    Pupuk budaya pengguna bijak

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MAC – Penyaluran maklumat melalui aplikasi mudah alih PenggunaBijak bagi memperkasa pengguna untuk membolehkan pengguna membuat keputusan pembelian yang bermaklumat adalah antara inisiatif kerajaan secara berdaya tahan untuk memupuk budaya pengguna yang bijak.

    Perkara itu dibincangkan semasa sesi dialog yang diadakan antara Jabatan Hal Ehwal Pengguna (JHEP) di bawah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi bersama mahasiswa dan mahasiswi Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini.

    Sesi dialog yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Ketua Pengarah JPES, Dayang Heidi Farah Sia binti Abdul Rahman itu juga membincangkan secara mendalam mengenai isu harga pasaran global bagi bahan-bahan mentah utama yang memberi kesan kepada harga makanan utama di dalam negara dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan, serta aktiviti-aktiviti penguatkuasaan JHEP melalui kawalan harga, pemantauan harga dan aktiviti perlindungan pengguna dalam memelihara kebajikan pengguna di negara ini.

    Sejajar dengan tema ‘Maklumat Memperkasa Pengguna’, dialog tersebut memperkenalkan beberapa aktiviti penguatkuasaan utama yang dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 dan kerja-kerja di bawah Perintah Perlindungan Pengguna (Perdagangan Wajar), 2011.

    Akta Kawalan Harga menetapkan harga maksimum bagi barangan keperluan asasi tertentu yang disenaraikan dalam akta berkenaan, manakala perundangan perlindungan pengguna pula menggariskan kewajipan para peniaga untuk bersikap telus dan beretika apabila berurusan dengan pengguna, seperti tidak membuat tuntutan palsu atau mengelirukan pengguna mengenai sesuatu barangan, perkhidmatan, aktiviti jualan dan harga.

    Perintah Perlindungan Pengguna juga memberikan hak kepada pengguna untuk menghadapkan kes mereka kepada Tribunal Tuntutan Kecil untuk mendapatkan pampasan.

    Pada 2022, sebanyak 374 kes telah diterima oleh JHEP dengan kadar penyelesaian sebanyak 99.6 peratus. Hampir 80 peratus aduan yang diterima secara rasmi adalah berkaitan dengan isu harga.

    Sesi tersebut juga mendedahkan mengenai faktor-faktor yang telah menyumbang kepada kenaikan harga makanan dan bagaimana rantaian nilai bekalan telah terjejas akibat kenaikan kos bahan mentah utama bagi makanan asasi seperti bijirin, biji bunga matahari dan urea disebabkan oleh ketegangan geopolitik dan cabaran iklim, yang kemudiannya telah menjejaskan kos dan harga makanan asasi seperti ayam, minyak masak dan sayur-sayuran.

    Sesi itu diakhiri dengan mesej utama iaitu seiring dengan usaha berterusan pihak kerajaan dalam meningkatkan rejim perlindungan pengguna, para peniaga dan para pengguna turut memainkan peranan masing-masing; sebagai peniaga untuk sentiasa mematuhi perundangan sedia ada dan sebagai pengguna untuk memperkasa diri dengan mengetahui hak dan tanggungjawab selaku pengguna.

    Usaha bersama itu mampu mewujudkan pasaran yang lebih baik bagi Negara Brunei Darussalam ke arah mencapai matlamat sosioekonomi wawasan 2023.

    Antara pelajar UBD yang menghadiri sesi dialog yang diadakan baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...