Friday, March 14, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasa macam bermimpi – Fiza Sabjahan

    Biarpun sudah 13 tahun mencipta nama dengan TV3, pengacara, Fiza Sabjahan menganggap dirinya masih tidak layak tercalon dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33.

    Fiza atau nama penuhnya, Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan tidak menyangka dirinya tersenarai dalam kelompok 20 calon kategori Pengacara TV Popular pada edisi istimewa dikendalikan secara norma baharu ini.

    Namun, wanita kelahiran Klang, Selangor yang bersama TV3 sejak 2008, menghargai penganjur mencalonkan dirinya.

    “Rasa macam bermimpi. Jika diikutkan, calon lain berstatus artis yang buat banyak kerja seni termasuk mengacara.

    “Saya pula hanya mengacara dan hanya dianggap personaliti TV sahaja. Biarpun dalam peringkat pencalonan awal, saya tetap bersyukur. Ini suatu pengiktirafan awal membuktikan kehadiran saya disedari.

    Fiza Sabjahan menganggap dirinya masih tidak layak tercalon dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-33. – Agensi

    “Ini momen manis yang saya akan kenang sampai bila-bila. Tercalon dalam Top 20 sudah jadi magis untuk dikongsi dalam lipatan kerjaya,” katanya kepada media.

    Fiza tidak menafikan cabaran dan saingan dunia pengacaraan sekarang berbeza.

    “Bagi saya yang tugas hakiki adalah pengacara di sebuah stesen televisyen (TV), saya anggap pencalonan ini sebagai nilai tambah,” katanya.

    Fiza menganggap TV3 sebagai gudang ilmu.

    “Saya bermula dengan program Nona diikuti Wanita Hari Ini (WHI) dan pelbagai program lain.

    “Sayang dan cinta saya kepada TV3 sangat menebal. Malah, saya sudah terbiasa dengan persekitaran kerja.

    “Teman dan majikan sudah macam keluarga sendiri,” katanya yang turut aktif melakukan kerja sampingan sebagai pengacara majlis.

    Ditanya apakah sukar berhadapan calon lain, Fiza melihat ia daripada sudut lebih luas dan subjektif

    “Setiap yang tercalon mesti ada harapan dan impian. Saya tidak terkecuali, namun saya realistik dan kena berpijak di bumi nyata.

    “Saya tak ada kelab peminat, tentunya agak sukar mahu menembusi persaingan lain. Tetapi, segala-galanya bergantung pada percaturan dan rezeki Allah,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda