Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan doktor India protes berikutan insiden rogol, bunuh di hospital

    NEW DELHI, 19 OGOS – Beratus-ratus doktor membuat protes berhampiran kementerian kesihatan India hari ini demi menuntut undang-undang yang ketat untuk melindungi pekerja kesihatan daripada keganasan dan juga mencari keadilan untuk rakan sekerja mereka yang telah dirogol dan dibunuh di hospital milik kerajaan.

    Kumpulan doktor yang memprotes dengan memegang sepanduk seperti ‘Keadilan ditangguhkan adalah keadilan dinafikan, dihalang oleh polis ketika mereka cuba menyediakan perkhidmatan pesakit luar percuma kepada pesakit di luar kementerian kesihatan di New Delhi, sebagai sebahagian daripada demonstrasi dan siri perhimpunan yang telah diadakan untuk lebih daripada seminggu.

    Doktor-doktor dan petugas perubatan di seluruh India telah mengadakan bantahan, perarakan menyalakan lilin dan juga enggan berjumpa pesakit bukan kecemasan secara sementara selepas rogol dan pembunuhan doktor pelatih berusia 31 tahun itu pada 9 Ogos di timur bandar Kolkata.

    Kumpulan protes itu berkata, serangan itu menonjolkan kelemahan perkhidmatan kesihatan di hospital dan kampus perubatan di seluruh India.

    Mereka menuntut undang-undang yang lebih kukuh untuk melindungi mereka daripada keganasan, termasuk menjadikan sebarang serangan ke atas pegawai perubatan yang sedang bertugas sebagai satu kesalahan tanpa kemungkinan diikat jamin, meningkatkan keselamatan di hospital dan ruang yang selamat untuk mereka berehat.

    Kerajaan telah meminta doktor untuk kembali bertugas dan berkata ia akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat tuntutan mereka.

    Insiden rogol dan bunuh terhadap seorang doktor pelatih di Kolej Perubatan dan Hospital Perubatan R.G Kar di bandar Kolkata itu juga menimbulkan kemarahan terhadap isu keganasan yang kronik terhadap wanita dan membawa kepada bantahan di seluruh India.

    Seorang sukarelawan polis yang bekerja di hospital itu telah ditangkap dan didakwa atas jenayah itu tetapi keluarga mangsa mendakwa ia adalah rogol berkumpulan dan lebih ramai orang terlibat. Penyiasat persekutuan sedang mengendalikan kes itu.

    Beribu-ribu orang, terutamanya wanita, juga telah berarak di jalan-jalan di Kolkata menuntut keadilan mengatakan pembunuhannya telah menunjukkan bagaimana wanita di India terus menghadapi peningkatan keganasan walaupun undang-undang yang keras telah ditubuhkan berikutan rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang pelajar berusia 23 tahun yang sedang menaiki bas di Delhi pada tahun 2012.

    Serangan itu telah memberi inspirasi kepada penggubal undang-undang untuk memerintahkan hukuman yang lebih keras untuk jenayah sedemikian, seperti mahkamah pantas yang mengendalikan kes rogol secara khusus. Kerajaan juga turut memperkenalkan hukuman mati bagi pesalah berulang. Namun, keganasan seksual terhadap wanita masih kekal sebagai masalah yang semakin meluas di India.

    Pada 2022, polis merekodkan 31,516 laporan jenayah rogol,  lonjakan 20 peratus daripada 2021, menurut Biro Rekod Jenayah Kebangsaan. – AP

    Sebahagian dari doktor dan paramedik yang memprotes berkumpul di hadapan pejabat menteri kesihatan India, di New Delhi hari ini. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda