RIYADH, 28 NOV – Suruhanjaya Diraja untuk Bandaraya Riyadh (RCRC) telah mengumumkan jadual bagi operasi berperingkat enam laluan Riyadh Metro sepanjang 176 kilometer (km) dan merangkumi 85 stesen, yang akan bermula pada 1 Disember, menurut laporan agensi berita Arab Saudi, SPA.
Fasa awal akan menyaksikan pembukaan Laluan 1, laluan Al Olaya-Al Batha (Blue Line), bersama Laluan 4, Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid (Yellow Line) dan Laluan 6, meliputi Jalan Abdulrahman bin Auf serta Jalan Sheikh Hassan bin Hussein bin Ali (Purple Line), yang semuanya dijadualkan bermula pada 1 Disember.
Dua minggu kemudian pada 15 Disember, Laluan 2, Jalan Raja Abdullah (Red Line), dan Laluan 5, Jalan Raja Abdulaziz (Green Line), akan memulakan operasi mereka.
Pelancaran berperingkat itu akan selesai sepenuhnya pada 5 Januari tahun hadapan dengan pembukaan Laluan 3, Jalan Al Madinah Al Munawwarah (Orange Line) yang menandakan pengaktifan penuh kesemua enam laluan dan memberi perkhidmatan kepada 85 stesen, termasuk empat stesen utama.
Pengembara boleh memilih destinasi dan membeli tiket melalui aplikasi Darb yang tersedia di pelbagai gedung aplikasi mudah alih. – Bernama