WARSAW, 11 DIS – Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, kelmarin berkata bahawa rundingan damai untuk menamatkan perang Rusia di Ukraine boleh dimulakan pada musim sejuk ini.
Tusk, yang negaranya merupakan penyokong tegar negara jiran Ukraine dan bulan depan akan mengambil alih jawatan presiden Kesatuan Eropah (EU) secara bergilir, juga mengumumkan beberapa siri rundingan akan datang dengan pegawai asing.
Dia berkata kelmarin akan bercakap dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dan akan mengalu-alukan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, ke Poland esok, lawatan yang disahkan oleh pejabat Macron.
“Presiden (EU) kami akan memikul tanggungjawab bersama terhadap keadaan politik, termasuk keadaan semasa rundingan (keamanan), yang boleh bermula – walaupun masih timbul tanda tanya – pada musim sejuk tahun ini,” kata Tusk kepada pemberita.
“Hari ini saya akan berpeluang bercakap mengenai perkara ini dengan Presiden Volodymyr Zelensky,” tambahnya.
Poland telah menjadi penyokong kuat Ukraine sejak Rusia menyerang negara itu hampir tiga tahun lalu.
Anggota EU dan NATO berfungsi sebagai hab logistik penting untuk bantuan ketenteraan Barat kepada Kyiv.
Macron, Zelensky dan bakal Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan mengadakan pertemuan tiga hala Sabtu ini di Paris yang disifatkan Tusk sebagai singkat tetapi penting. – AFP