Saturday, May 4, 2024
26.4 C
Brunei

    -

    Sambutan Maulud Nabi terus semarak

    Oleh Salawati Haji Yahya, Daniel Lim & Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW terus disemarakkan dengan majlis dikir yang diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini termasuk kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan.

    Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya, hari ini, telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam yang berlangsung di Masjid Ash-Shaliheen, JPM.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Dato Seri Paduka Mohamed Riza bin Dato Paduka Haji Mohamed Yunos; Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-Undang) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, setiausaha-setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan JPM.

    Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan wakaf oleh Yang Berhormat Menteri di JPM kepada imam masjid berkenaan, Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

    Yang Berhormat Menteri di JPM hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam bagi JPM. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berdikir di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, kelmarin. – Gambar serahan KSSUP
    Yang Behormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara di Daerah Belait.
    Pesuruhjaya Polis hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di Surau Polis Gadong. – Gambar serahan PPDB
    PPNBD turut tidak ketinggalan menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan Majlis Dikir di Balai Ibadah PPNBD. – Gambar serahan PPNBD

    Rombongan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) pula telah menghadiri majlis berdikir di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit (MDRIPAD), Mukim Kilanas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.

    Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Mohd Yusree bin Haji Junaidi.

    Majlis yang diadakan dengan usaha sama KSSUP, Jawatankuasa Takmir MDRIPAD dan Al-Huffaz.bn itu turut diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Bukti Cinta Kepada Rasulullah SAW’ yang disampaikan oleh Pegawai Ugama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Mohammad Nasyith bin Superi.

    Kelmarin, selain tumpuan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara, Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat negara juga telah diadakan secara serentak di daerah-daerah lain.

    Di Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait yang dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan di Daerah Belait.

    Sementara itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) telah mengadakan Majlis Penutup Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di Surau Polis Gadong.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali berserta Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman selaku yang di-pertua Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI).

    Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis, Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin; Penguasa Polis Mohamad Amirruddin bin Haji Tunjang selaku pengerusi BUI PPDB, pengarah-pengarah dan timbalan jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota pangkat rendah PPDB berserta ahli PEKERTI.

    Dalam pada itu, baru-baru ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) melalui Bahagian Keagamaan PPNBD juga menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis dikir yang berlangsung di Balai Ibadah PPNBD.

    Hadir pada majlis itu ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas. Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, pesuruhjaya-pesuruhjaya, pemimpin pengakap, ahli-ahli pengakap dewasa serta ahli-ahli Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...