Saturday, May 4, 2024
26.4 C
Brunei

    -

    Saya tak dapat tidur – Pepe

    DOHA, 1 DIS – Pemain pertahanan veteran Portugal, Pepe (gambar) kelmarin mengaku bahawa dia tidak dapat tidur sebelum aksi Piala Dunia bermula kerana risau dia mungkin terlepas peluang untuk bermain atas sebab kecederaan.

    Pemain berusia 39 tahun itu merupakan pemain ketiga paling tua dalam Piala Dunia 2022, yang memulakan aksinya buat pertama kali sejak dua bulan lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Uruguay.

    Pepe mengalami kecederaan lutut pada awal bulan Oktober dan membuat penampilan semula sebagai pemain simpanan untuk kelabnya, Porto dalam aksi final sebelum Piala Dunia pada 12 November.

    “Semasa saya tercedera, sejujurnya saya tidak dapat tidur,” kata Pepe semasa sidang media, sehari sebelum pasukannya bertemu Korea Selatan dalam perlawanan akhir Kumpulan H.

    “Saya tidak dapat tidur kerana saya mahu bangkit kembali dan bermain dalam perlawanan seterusnya. Saya mahu menyumbangkan kepada pasukan kebangsaan saya, untuk memperoleh kemenangan.

    “Perjalanan ini agak jauh, tapi sekarang ia sudah tamat.

    “Saya perlu pandang ke depan, memastikan matlamat tercapai dengan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang.”

    Portugal telah pun layak ke kelompok 16 terakhir, namun mereka boleh menjamin kedudukan teratas dalam kumpulan jika mereka menang atau seri menentang Korea Selatan pada Jumaat.

    Danilo Pereira bermula di bahagian pertahanan bersama Ruben Dias pada perlawanan pertama namun mengalami keretakan tulang rusuk ketika berlatih, sekali gus membenarkan Pepe untuk menggantikan dirinya dan mempamerkan benteng pertahanan yang kuat untuk mematahkan cubaan Uruguay.

    Dia berkata walaupun selepas 130 kemunculan, dia masih lagi gembira dapat bermain untuk negaranya.

    “Saya tidak boleh jamin sama ada ini adalah Piala Dunia terakhir saya,” kata Pepe. Saya berada di sini untuk menikmati kejohanan ini. Ia adalah satu keistimewaan dapat melakukan apa yang saya suka, iaitu untuk bermain bola sepak.”

    Portugal mempunyai skuad yang kuat, yang dibintangi oleh Cristiano Ronaldo, Bruno Fernandes dan Bernardo Silva.

    Namun, Pepe percaya bakat sahaja tidak akan mencukupi untuk memberikan Portugal peluang untuk menjulang trofi Piala Dunia mereka yang pertama.

    “Kita mempunyai beberapa ramuan, dan jika kita tidak mencampurkan kesemua ramuan ini, ia takkan menjadi.

    “Jika kita mahu menyediakan salad, kita tidak boleh letak tomato di hujung sana dan bawang di hujung sini, kita perlu mencampurkannya.

    “Kita mempunyai pasukan kebangsaan yang berkualiti tinggi, namun jika kita tidak bekerja keras, menghormati pihak lawan, dan menurut kata jurulatih, kita tidak akan mendapat sebarang kelebihan.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...