Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seorang maut, tiga cedera dalam tanah susur Alaska

    WASHINGTON, 26 OGOS – Kejadian tanah susur yang melanda bandar Ketchikan di Alaska kelmarin telah menyebabkan seorang maut, manakala tiga yang lain cedera dan memaksa sesetengah penduduk untuk berpindah ketika pihak berkuasa memberikan amaran tentang kemungkinan tanah susur kedua.

    Rumah dan jalan raya rosak apabila tanah susur melanda bandar pesisir pantai di tenggara Alaska petang kelmarin, kata bandar itu dan Ketchikan Gateway Borough dalam satu kenyataan bersama.

    “Sahabat sekalian, dengan hati yang berat, kami menyampaikan bahawa tanah susur di bandar ini telah meragut nyawa, menyebabkan beberapa kecederaan, merosakkan rumah dan memberikan kesan kepada komuniti kita,” kata Datuk Bandar Borough, Rodney Dial.

    Tiga orang yang cedera telah dibawa ke hospital, di mana seorang telah dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan manakala dua lagi dimasukkan ke wad.

    Arahan pemindahan mandatori telah dikeluarkan untuk penduduk di beberapa jalan di Ketchikan ketika pihak berkuasa memberikan amaran tentang risiko tanah susur kedua di selatan lokasi kejadian.

    “Selama 65 tahun saya di Ketchikan, saya tidak pernah melihat tanah susur sebesar ini.

    Dengan kejadian tanah susur yang kita lihat di seluruh rantau ini, jelas terdapat isu di seluruh wilayah yang perlu kita cuba fahami dengan sokongan ahli geologi negeri kita,” kata Datuk Bandar Ketchikan, Dave Kiffer. – AFP

    Pekerja dilihat membersihkan kawasan yang dilanda tanah susur di Ketchikan, Alaska, pada 25 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda