Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Serigala makan manusia, cetus panik di India

    LUCKNOW, 2 SEPT – Ratusan anggota polis India telah dikerahkan untuk memburu sekumpulan serigala yang dilaporkan telah membunuh sembilan orang, lapan daripadanya kanak-kanak, kata pegawai hidupan liar hari ini.

    Di negeri utara Uttar Pradesh, penduduk daerah Bahraich yang ketakutan berjaga-jaga sepanjang malam, mengerahkan anjing pengawal dan membakar mercun dengan harapan dapat menakutkan pemangsa tersebut.

    Pembunuhan itu berlaku sejak dua bulan lalu, dengan serangan terbaharu ke atas seorang budak lelaki berusia enam tahun pada awal pagi kelmarin.

    Budak lelaki itu sedang tidur di beranda rumahnya – amalan biasa semasa hari-hari yang panas dan lembap pada musim hujan – apabila serigala itu menggigit lehernya.

    “Saya terjaga dan mendapati anak saya berada dalam cengkaman haiwan itu,” kata ibunya, Gudiya kepada Times of India.

    “Saya bertindak mengikut naluri dan menarik anak saya dengan sekuat hati.”

    Pakar mengatakan serigala menyerang manusia atau ternakan hanya sebagai pilihan terakhir apabila ia kelaparan – haiwan tersebut lebih suka mangsa yang kurang berbahaya seperti kijang kecil. Tetapi pegawai hidupan liar berkata banjir besar akibat hujan lebat yang melampau telah membanjiri kawasan biasa serigala dan mendorong haiwan itu ke kawasan ladang yang lebih berpenduduk.

    “Apabila mangsa semula jadi serigala tidak mudah didapati, ia tidak mempunyai banyak pilihan,” kata pegawai perhutanan negeri, Ajeet Kumar Singh, yang merupakan sebahagian daripada pasukan pemburu serigala, kepada Times of India.

    “Banjir telah mencipta kekurangan yang telah memaksa haiwan tersebut untuk mengambil risiko yang biasanya tidak akan dipertimbangkan.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda