LIMA – Kraf hasil tangan Sadith Silvano lahir daripada lagu-lagu kuno. Dengan berus di tangan dan mata tertumpu pada kain, wanita Peru itu melukis sambil menyanyi. Dan melalui suaranya, nenek moyangnya seakan-akan berbicara.
“Apabila kami melukis, kami mendengar inspirasi yang datang daripada muzik dan berhubung dengan alam semula jadi, kepada orang tua kami,” kata Silvano, 36, dari rumah dan bengkelnya di Lima, Peru, tempat dia berpindah dua dekad lalu dari Paoyhan, Komuniti Orang Asli Shipibo-Konibo yang terletak di Amazon.
“Setiap karya ini adalah sesuatu yang suci,” tambahnya. “Kami memberkati kerja kami dengan tenaga daripada lagu-lagu kami.”
Menurut angka rasmi, hampir 33,000 orang Shipibo-Konibo tinggal di Peru.
Menetap di sekitar sungai Uyacali, ramai daripada mereka berpindah ke kawasan bandar seperti Cantagallo, sebuah kawasan kejiranan di Lima tempat Silvano tinggal.
Tekstil lukisan tangan seperti yang dihasilkannya semakin mendapat pengiktirafan. Dikenali sebagai kene, tekstil itu telah diisytiharkan sebagai sebahagian daripada Warisan Budaya Negara oleh kerajaan Peru pada tahun 2008.
Setiap kene adalah unik, menurut wanita kraf Shipibo. Setiap corak menceritakan tentang komuniti seorang wanita, pandangan dunianya dan kepercayaannya.
“Setiap rekaan mempunyai ceritanya sendiri,” kata Silvano, berpakaian tradisional dengan kepalanya dihiasi hiasan manik. “Ia adalah cara seorang wanita Shipibo membezakan dirinya.”
Kraf itu diturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain. Memandangkan kebijaksanaan berakar umbi pada alam semula jadi, pengetahuan yang diwariskan oleh golongan tua menghubungkan generasi muda kepada tanah asal mereka.
Paoyhan, tempat kelahiran Silvano, memerlukan perjalanan udara dan perjalanan bot selama 12 jam untuk tiba dari Lima.
Di kampung halamannya, penduduk jarang menggunakan bahasa lain selain bahasa Shipibo. Pintu dan tingkap tidak mempunyai kunci, dan mereka makan hasil daripada alam semula jadi.
Adela Sampayo, seorang dukun berusia 48 tahun yang dilahirkan di Masisea, tidak jauh dari Paoyhan, berpindah ke Cantagallo pada tahun 2000, tetapi mengatakan bahawa semua kemahirannya berasal dari Amazon.
“Sejak kecil, ibu saya merawat saya dengan perubatan tradisional,” kata Sampayo, duduk dalam kedudukan teratai di dalam rumah di mana dia menyediakan rawatan ayahuasca dan ubat-ubatan lain untuk mereka yang mengalami masalah fizikal atau jiwa yang terluka.
“Dia memberi saya tumbuh-tumbuhan untuk menjadi lebih kuat, untuk mengelakkan penyakit dan menjadi berani,” kata Sampayo. “Begitulah tenaga tumbuh-tumbuhan mula berkembang dalam diri saya.”
Sampayo juga menyampaikan pandangannya tentang dunia melalui tekstil yang dihasilkannya. Walaupun dia tidak melukis, dia menyulam dan setiap benang menceritakan kisah dari kampung halamannya.
Tumbuhan yang dilukis oleh Silvano juga mempunyai makna tersendiri. Salah satunya melambangkan cinta yang murni. Yang lain mewakili seorang lelaki yang bijaksana. Satu lagi menggambarkan seekor ular.
“Anakonda sangat istimewa bagi kami,” kata Silvano. “Ia adalah pelindung kami, seperti dewa yang menjaga kami dan menyediakan makanan serta air.”
Pada zaman dahulu, katanya, kaumnya percaya bahawa matahari adalah bapa mereka dan anakonda adalah penjaga mereka.
Selama bertahun-tahun, selepas bapanya membawanya ke Lima dengan harapan mempunyai masa depan lebih baik, dia sering merindukan gunungnya, langit yang cerah dan masa sendirian di hutan. Kehidupan di Paoyhan bukanlah mudah, tetapi sejak kecil dia belajar bagaimana untuk menjadi tabah.
Pada tahun 1990an, komuniti Amazon terjejas akibat keganasan daripada pemberontakan Shining Path dan pembalakan haram. Kemiskinan dan seksisme juga perkara biasa, itulah sebabnya ramai wanita Shibipo belajar mengatasi kesedihan mereka melalui muzik penuh perasaan yang dinyanyikan mereka.
“Apabila kami menghadapi masa-masa sukar, kami mengatasinya dengan terapi kami: mereka bentuk, melukis, menyanyi,” kata Silvano. “Kami mempunyai lagu yang merdu dan menyembuhkan jiwa kami, dan satu lagi yang memberikan inspirasi serta membawa kegembiraan kepada kami.”
Menurut Silvano, hanya segelintir gadis Shipibo digalakkan untuk belajar atau mencari nafkah sendiri. Sebaliknya, mereka diajar untuk menunggu suami. Dan apabila sudah berkahwin, mereka diajar menanggung sebarang penderaan, kecurangan atau ketidakselesaan yang mungkin mereka hadapi.
“Walaupun kami menderita, orang akan berkata kepada kami: Terima sahaja, dia bapa kepada anak-anak kamu. Terima sahaja, dia suami kamu,” kata Silvano. “Tetapi jauh di dalam hati, kami terluka. Jadi apa yang kami lakukan? Kami menyanyi.” – AP