Sunday, May 5, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    ‘Sistem makanan perlukan banyak pelaburan’

    PHNOM PENH, 16 OKT – Kerajaan Kemboja, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) dan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu hari ini menggesa lebih banyak pelaburan dibuat dalam mentransformasikan sistem makanan bagi memastikan jaminan makanan serta zat pemakanan, selain menangani kejutan dan krisis.

    Dalam kenyataan bersama sempena Hari Makanan Sedunia, menurut agensi badan dunia itu Kemboja sudah menyediakan Pelan Hala Tuju Nasional bagi Pembangunan Mampan 2030, lapor Xinhua.

    “Sebagai sebuah negara, kita perlu mengubah rantaian bekalan makanan bagi memastikan sistem tersebut dapat menyediakan makanan berkualiti dan berkhasiat untuk semua rakyat Kemboja menerusi pelaburan dalam inovasi, teknologi dan sistem digital,” kata Setiausaha Negara Kementerian Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Om Kimsir.

    Sementara itu pegawai FAO di Kemboja Antonio Schiavone berkata memandangkan sistem agrimakanan saling berkait rapat dengan pelbagai bidang kehidupan dan ekonomi yang berbeza meliputi pertanian, sumber asli, tenaga serta kesihatan, ia berpotensi besar menjadi alat untuk mewujudkan persekitaran yang lebih saksama dan sejahtera.

    “Sistem makanan yang mampan akan memberi manfaat kepada semua termasuk mereka yang mudah terjejas.

    “Pengeluar berskala kecil dan mudah terjejas perlu diperkasakan memandangkan mereka boleh menjadi pusat transformasi sistem makanan serta sebagai ejen pembangunan mampan yang aktif,” katanya.

    Menurut data terkini pasaran WFH, harga beras, makanan ruji Kemboja, kekal stabil setakat ini. Namun, berlaku kenaikan yang ketara dalam harga makanan import. Harga minyak sayuran meningkat 39.7 peratus pada Mei tahun ini berbanding Mei 2021.

    Pengeluaran padi dijangka kekal melebihi paras purata yang memastikan Kemboja tidak akan menghadapi kekurangan kritikal makanan. Bagaimanapun, krisis “5F” semasa – makanan, bahan api, baja serta kekangan kewangan – menimbulkan ancaman baharu kepada sistem makanan, menurut kenyataan itu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...