Friday, November 29, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Spurs atasi Ferencvaros di Liga Eropah

    PARIS, 4 OKT – Tottenham, yang melakukan banyak perubahan, mencatat kemenangan 2-1 ke atas Ferencvaros dari Hungary dalam aksi Liga Eropah, awal pagi tadi.
     
    Jaringan daripada Pape Sarr dan Brennan Johnson memastikan Spurs meraih kemenangan kedua mereka dalam dua perlawanan musim ini walaupun gol lewat Barnabas Varga hampir mencetuskan kebangkitan pasukan tuan rumah.
     
    Tottenham yang menurunkan barisan pemain muda memulakan perlawanan dengan perlahan dan Ferencvaros hampir membuka jaringan pada minit ke-18 apabila Varga menanduk masuk bola, namun gol tersebut dibatalkan oleh VAR kerana ofsaid.
     
    Penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario kemudian mempamerkan kepantasannya seminit kemudian untuk menafikan percubaan jarak dekat Varga.
     
    Kelab Liga Perdana Inggeris itu kemudian menguasai dan memecah kebuntuan pada minit ke-23 apabila Sarr tenang menyudahkan satu gerakan dalam kotak penalti Ferencvaros.
     
    Tuan rumah gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dua kali sebelum pertahanan Stefan Gartenmann akhirnya hilang keseimbangan dan tidak menyedari bola di belakangnya ketika berlari ke pintu gol sendiri, membolehkan Sarr merembat masuk dari jarak dekat.
     
    Pasukan pelawat mempunyai peluang untuk mencatat kemenangan lebih awal pada babak kedua, tetapi percubaan Timo Werner hanya singgah di tepi jaring selepas mengatasi penjaga gol pada minit ke-64 dan rembatan Johnson terkena palang gol dari jarak jauh.
     
    Ketika Ferencvaros mula mengancam, Johnson meraih gol kelimanya dalam lima perlawanan dengan penyudah kaki kiri yang terkena tiang gol sebelum menggolek masuk pada minit ke-86.
     
    Spurs mempertahankan rekod 100 peratus dalam kempen Liga Europa meskipun Varga menampan masuk satu hantaran silang melepasi Vicario pada minit ke-90 untuk mencetus detik akhir cemas buat anak buah Ange Postecoglou. – AFP
     
    Johnson (kiri) ketika berkasi pada perlawanan di Budapest, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda