Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Suara ghaib minta pulangkan batu

    Oleh Fauzye –

    “Kau pasti tak nak ikut?” Syatilla menyoal lembut. Syamira hanya menggelengkan kepala sebagai respons kepada soalan yang diutarakan daripada kakak sulungnya itu.

    “Ok! Jangan lupa kunci pintu. Mungkin kami balik lewat sikit. Apa-apa, telefon saja!”, balas Syatilla lagi sambil dibalas senyuman ringkas Syamira.

    Malam itu malam Jumaat. Kedua-dua orang tua Syamira dan kakaknya Syatilla pergi menghadiri majlis persandingan anak jiran mereka yang diadakan di sebuah dewan di Kampung Kiulap.

    Dari awal lagi Syamira memang tidak mahu ikut lantaran dia merasa penat seharian dan ingin berehat saja kerana baru saja pulang lewat daripada mengikuti lawatan sambil belajar ke Kampong Ayer di samping mengunjungi beberapa buah pulau di perairan Sungai Brunei.

    Meskipun sedang bercuti semester, namun Syamira tetap ligat mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh universiti tempatnya belajar sebagai mengisi masa terluang dan aktiviti berfaedah.

    Gambar Freepik

    Gadis berusia 20 tahun dan merupakan anak bungsu dari dua beradik itu langsung tidak kekok tinggal sendirian di rumah. Kawasan perumahan tempat tinggalnya bersama keluarga tidaklah terlalu sunyi kerana kawasannya sangat padat dengan rumah-rumah jiran tetangga mereka.

    Cuma malam itu, entah kenapa Syamira berasa sepi terhadap suasana sekelilingnya dan sesekali kelihatan angin berhembus dengan kuat hingga menerbangkan dedaun pokok apabila Syamira cuba menoleh ke arah jendela. Mungkinkah petanda hari hendak hujan? Bisiknya dalam hati.

    Selesai menikmati buah epal dan segelas jus oren sebagai menu makan malamnya, Syamira mula merasa mengantuk. Matanya seakan-akan merayu minta dilelapkan.

    Setelah memeriksa telefon bimbitnya, Syamira mula merebahkan dirinya di atas katil empuk di bilik tidurnya.

    Tidak sampai 5 minit, Syamira mula terpandang sesuatu. Dicapainya benda yang terletak di atas rak berhampiran katilnya itu dan mula membelek-belek dan memandang benda yang hanyalah sebiji batu kecil berwarna kelabu berbentuk seperti kikik.

    Syamira terpegun melihat bentuk unik batu tersebut yang diperolehinya semasa lawatan sambil belajar tadi.

    Ketika mengunjungi destinasi terakhir lawatan yang berlangsung dari pagi hingga ke petang tadi, Syamira dan rombongan sempat singgah di salah sebuah pulau tidak jauh dengan kawasan perkampungan yang mereka lawat.

    Di sanalah dia menemui batu unik itu dan dengan pantas membawanya pulang bersama. Syamira bagaikan sudah jatuh hati dengan bentuk batu yang unik itu.

    “Syamira!”

    Syamira terbangun. Dia terkejut. Suara siapa yang memanggil namanya itu? Kedengaran seakan suara berbisik. Siapa dia? Mustahil keluarganya sudah pulang. Syamira melihat jam di dinding ketika itu. Baru pukul 8:15 malam. Sudah sejam sejak keluarganya pergi menghadiri majlis perkahwinan anak jiran mereka.

    Syamira masih lagi duduk membisu sambil tangannya memegang batu kecil itu begitu lama, sambil cuba untuk menumpukan perhatiannya dan menjangkakan suara itu muncul semula namun dia hampa kerana keadaan semakin sunyi. Hendak bergerak, tetapi kaki Syamira seakan kebas.

    Setelah merasakan tidak ada apa-apa dan menganggap barangkali dia tersalah dengar, Syamira kemudian merebahkan dirinya dan cuba untuk melelapkan mata semula.

    “Tolong, pulangkan!”

    Jantung Syamira mula berdebar laju. Suara itu kedengaran lagi. Kali ini dia cuba untuk mengamat-amati pemilik suara itu namun kerana suara itu seakan berbisik, dia tidak dapat mendengar dengan jelas siapakah gerangan pemilik suara itu. Baru saja dia mahu melelapkan mata, dia terbangun lagi. Syamira terdiam. Dia cuba bangun. Kali ini dia berjaya lantas cuba membuka tombol pintu biliknya dan keluar dengan segera.

    “Siapa tu?” Syamira memberanikan diri bersuara. Sepi. Tiada kedengaran sesiapa menyahut.

    “Dah dua kali aku dengar. Memang ada suara seakan berbisik tadi. Siapa ya? Eh! Cuma aku yang tinggal seorang sekarang!” Syamira memberhentikan ayatnya.

    Lantas, ketakutan mula menyelubungi dirinya saat itu. Dia mula berlari pantas menuju ke bilik tidurnya.

    Syamira cuba memerhati sekelilingnya. Ketika itu dia sudah duduk di atas katil sambil menutupi tubuhnya dengan selimut lembut berwarna merah jambu kepunyaannya sambil berpeluk tubuh.

    Kedengaran jantungnya kian berdegup kencang serasa sedang mengikuti pertandingan larian. Penghawa dingin di bilik tidurnya pula seolah tidak berfungsi apabila Syamira mula berpeluh. Syamira masih memerhati sekeliling biliknya. Dalam ketakutan itu, bermacam-macam yang bermain di kepalanya. Batu kecil yang dipegangnya sudah diletakkannya kembali di rak tadi.

    “Syamira, tolong pulangkan!”

    Suara itu timbul lagi. Ketika itu Syamira sudah tidak mampu lagi hendak menyembunyikan ketakutannya. Dia mula resah dan menangis. Hendak bercakap, suaranya seakan tersekat di kerongkong. Apa maksud suara itu? Dia bermonolog. Dalam keadaan yang mencengkam jiwanya, dia cuba menutup seluruh tubuhnya dengan selimut sambil berbaring.

    “Pulangkan, tolong!”

    Suara itu kedengaran merintih jelas di telinga Syamira. Kerana tidak tahan dengan gangguan suara itu, Syamira bingkas bangun dan mula menjerit.

    “Siapa kau? Pulangkan apa?” Jeritnya sekuat hati. Air matanya mengalir dan dalam keadaan dirinya yang semakin tidak tentu arah. Peluh juga semakin membasahi dirinya yang turut dilanda perasaan panik hinggakan apa yang berlaku ketika itu membuatkan dirinya terlupa untuk menghubungi ahli keluarganya.

    “Tolong pulangkan, Syamira!”

    Ketika suara itu bergema menghantui dirinya sekali lagi, Syamira terpandang kelibat bayang-bayang yang tidak jelas berdiri di hadapannya lantas menghilang di sebalik dinding bilik tidurnya.

    Syamira tergamam dan mulutnya terlopong. Dalam ketakutan yang masih bersisa, jantung yang semakin berdegup laju, peluh dan air mata yang mengalir berterusan membuatkan Syamira pengsan dan tidak sedarkan diri.

    “Kau dah bangun? Kau kenapa ni? Habis berpeluh, muka pucat. Apa yang berlaku?” Dalam keadaan yang samar-samar dan kepala yang pening serta kebingungan akibat pengsan tadi, Syamira terdengar suara kakaknya, Syatilla.

    “Pulangkan benda tu. Tolong, bantu Mira pulangkan benda tu!” Itulah ayat yang keluar dari mulutnya saat dia mula tersedar dari pengsan. Ketika itu, dia sudah mula dikelilingi oleh ahli keluarganya.

    “Benda apa Mira? Tell us!” Ibu Syamira, Hajah Ainon mula bertanya. Tampak kerisauan pada nada suaranya.

    “Mira ok ke ni? Pulangkan apa? Cerita dekat kami semua apa yang jadi sampai Mira pengsan tak sedarkan diri tadi?”

    Ayah Syamira, Haji Samree pula menyoal Syamira.

    Syamira memandang wajah ibu, ayah dan kakaknya. Dia cuba menenangkan dirinya seketika sebelum membuka mulut menceritakan hal sebenar.

    Ayah dan ibunya saling berpandangan dengan raut wajah yang kehairanan, manakala Syatilla pula cuba duduk di sebelah Syamira sambil cuba mengusap-usap lembut bahu adik bongsunya itu.

    “Mi.. Mira tak sengaja terambil sesuatu masa ikut lawatan tadi. Mira jatuh hati lihat benda tu. Ia batu kecil berbentuk seakan kikik. Sebenarnya pemandu bot kami tadi dah larang Mira untuk tidak ambil apa-apa waktu lawatan dekat sebuah pulau ni, tapi Mira tak endahkan itu semua dan terus bawa batu tu balik dengan Mira.

    “Kami tak naik dekat pulau itu, cuma singgah di kawasan sekelilingnya saja. Mira ingatkan tak kanlah ambil batu dekat sana pun tak boleh.

    “Tapi, rupa-rupanya.. sebab batu itulah Mira diganggu. Mira asyik dengar suara seseorang minta pulangkan. Mira tak faham. Mira jadi takut sampai berpeluh, menangis dan jantung berdegup kuat. Sampailah bila suara tu semakin menganggu Mira, Mira mula nampak kelibat bayang-bayang tak jelas yang kemudian hilang di sebalik dinding bilik tidur Mira.

    Mira pengsan lepas tu.

    “Apa yang Mira ingat waktu Mira sedang pengsan, Mira bermimpi. Suara itu datang lagi sambil berpesan untuk pulangkan batu tersebut.

    “Barulah Mira faham dan mula terbangun. Mira minta maaf!”

    Setelah habis Syamira bercerita panjang lebar, serta-merta itu juga keluarga Syamira mula mencari jalan untuk memulangkan segera batu yang diambil olehnya itu.

    Setelah dipulangkan ke tempat asalnya, hanya perasaan lega dan syukur dirasakan oleh keluarga Syamira.

    Dari kejadian tersebut membuatkan Syamira sedar bahawa ketika memasuki kawasan hutan atau pulau sekalipun, jangan sesuka hati atau sewenang-wenangnya mengambil sesuatu di sana yang terang-terang bukan kepunyaan diri. Sungguh kejadian yang menimpa Syamira itu juga membuatkan dia belajar untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sudah dibuatnya.

    Meskipun peristiwa misteri itu hampir luput dari ruang ingatannya namun sesekali apabila Syamira terkenangkannya semula, hatinya pasti tertanya-tanya, suara siapa sebenarnya yang menyuruhnya memulangkan batu itu?

    Adakah batu itu milik si pemilik suara tersebut? Ataupun suara itu sekadar satu bentuk teguran buat dirinya kerana telah mengambil sesuatu? Wallahuaklam.

    Mudah-mudahan cerita ini akan terus jadi pengajaran buat dirinya dan akan menjadi kisah seram pertama dan terakhir yang dilaluinya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda