Saturday, May 4, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Sukarelawan muda pemangkin kemajuan masyarakat

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Alangkah bertuahnya sesebuah negara jika golongan belianya memiliki keprihatinan yang tinggi dalam berjuang memikul tanggungjawab bersama demi mewujudkan kesejahteraan bangsa, agama dan tanah air di mana mereka dilahirkan.

    Namun hakikatnya, menjadi sukarelawan bukanlah tugas yang mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi, keyakinan, serta kesediaan mental dan fizikal, sukarelawan muda di negara ini berperanan sebagai pemangkin kesejahteraan bangsa, agama, dan tanah air.

    Mereka melaksanakan berbagai bentuk bantuan secara proaktif dan kreatif tanpa mengharapkan ganjaran. Seorang sukarelawan berkualiti diibaratkan sebagai permata berkilauan dengan jiwa yang mulia. Kegiatan mereka ini menandakan kecintaan dan semangat patriotisme yang tinggi terhadap negara. Mereka adalah aset penting yang memastikan tradisi dan nilai murni terus dipertahankan dan diperkasa dari generasi ke generasi.

    Hakikatnya, seiring berjalannya waktu dan meredah pelbagai cabaran, kesungguhan lapisan masyarakat di negara ini dalam bidang kesukarelawan sememangnya suatu hal yang tidak dapat disangkal lagi di mana paparan liku-liku perjuangan mereka jelas terbukti pada ruang-ruang pameran semasa berlangsungnya Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    Bertepatan dengan tema sambutan pada tahun ini Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin, Yayasan telah mempamerkan program kesukarelawan yang melibatkan penyertaan para belia tempatan selaras dengan salah satu tujuan penubuhan Yayasan iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.

    Dayangku Hajah Asiah antaranya mengongsikan setakat ini lebih 3,000 orang ahli telah berdaftar sebagai Sukarelawan Yayasan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Sebanyak 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan telah berjaya menyerlahkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing pada pameran anjuran Yayasan tersebut antaranya KUPU SB dan Institut Kemuda. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Majlis Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan bertempat di ICC, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Berkesempatan ditemui penulis, Pegawai Yayasan, Dayangku Hajah Asiah binti Pengiran Haji Damit antaranya mengongsikan setakat ini lebih 3,000 orang ahli telah berdaftar sebagai Sukarelawan Yayasan.

    Visi Sukarelawan Yayasan, jelasnya ialah mendukung dasar penubuhan Yayasan manakala misi penubuhannya ialah menyediakan saluran bagi ahli sukarelawan untuk tampil ke hadapan menyumbang khidmat bakti mereka; memberikan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan masyarakat terhadap isu dan masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang berkemampuan dan juga kurang berkeupayaan bagi melahirkan masyarakat yang prihatin, penyayang, pemedulian dan harmoni; dan mempertingkatkan kerjasama antara sukarelawan, badan-badan bukan kerajaan dan agensi-agensi kerajaan dengan mengambil daya usaha baharu menggiat luaskan aktiviti-aktiviti sosial yang kolektif.

    Menyentuh mengenai fokus utama yang dilaksanakan oleh Sukarelawan Yayasan, ia merangkumi Program Intervensi Pendidikan (PIP), Program Bantuan untuk Meningkatkan Sosioekonomi (PBSE), Projek Amal Memeduli Warga Emas dan Keluarga yang Memerlukan Bantuan (PAWEK), dan Projek Bantuan Kecemasan dan Kemasyarakatan (PBKK).

    “Semangat kesukarelawan ini perlu diterapkan dalam jiwa masyarakat di negara ini tidak kira apa juga peringkat usia agar kita mampu menjadi bangsa yang berjiwa kental dalam mengharungi pelbagai cabaran mendatang sekali gus sebagai pencetus dan penggerak kemajuan dan kestabilan negara.

    “Pastinya bidang kesukarelawanan ini memerlukan kekuatan dan ketulusan hati, jika hati kuat dan tulus, sejauh mana pun cabaran ketika berbakti pasti mampu menghadapinya.

    Semua ini memerlukan perpaduan tenaga dalam sama-sama berkhidmat bakti untuk agama, bangsa dan negara,” tekan Dayangku Hajah Asiah.

    Dalam pada itu, sebanyak 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan telah berjaya menyerlahkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing pada pameran anjuran Yayasan tersebut.

    Institusi-institusi pengajian tinggi tempatan yang menyertainya terdiri daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Institut Kemuda dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS).

    Turut berkesempatan ditemui ialah salah seorang pensyarah di Institut Kemuda, Dayang Nurfitrisha Aliesha binti Abdullah Chua antaranya mengongsikan pada tahun ini, Institut Kemuda turut tidak ketinggalan dalam sama-sama menyemai jiwa kesukarelawan dan kemasyarakatan dalam golongan pelajarnya antaranya melalui penganjuran aktiviti-aktiviti belia, menderma dan menolong golongan yang susah.

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...