Saturday, May 4, 2024
25.1 C
Brunei

    -

    Sunak janji lebih tegas terhadap China

    LONDON, 25 JULAI – Pesaing utama dalam parti Konservatif, Rishi Sunak berjanji akan bersikap lebih tegas terhadap China sekiranya dipilih menjadi Perdana Menteri Britain berikutan kuasa besar Asia itu dilihat sebagai ‘ancaman nombor satu’ kepada keselamatan domestik dan global.

    Ikrar bekas menteri kewangan itu dibuat selepas pesaingnya, Liz Truss, menuduhnya lemah terhadap dasar China dan Rusia.

    Antara yang dicadangkan Sunak adalah penutupan kesemua 30 Institut Confucius di Britain, menghalang penyebaran pengaruh China melalui program budaya dan bahasa.

    Beliau juga berjanji mengeluarkan Parti Komunis China (PKC) dari universiti negara itu dengan memaksa pertubuhan pendidikan tinggi mendedahkan pembiayaan asing lebih daripada AS$60,000 dan menyemak perkongsian penyelidikan.

    Agensi pengintip domestik Britain MI5 akan digunakan untuk membantu memerangi pengintipan China dan Sunak akan berusaha untuk membina kerjasama antarabangsa gaya NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) untuk menangani ancaman China di alam siber.

    Beliau juga akan mengkaji kes untuk mengharamkan pengambilalihan aset utama British oleh China, termasuk firma teknologi yang sensitif secara strategik.

    “Cukuplah, sudah terlalu lama ahli politik di Britain dan di seluruh Barat melancarkan permaidani merah dan menutup mata terhadap aktiviti dan cita-cita jahat China.

    “Saya akan menukar perubahan ini pada hari pertama saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

    Global Times yang dikendalikan kerajaan China sebelum ini berkata, Sunak adalah satu-satunya calon mempunyai pandangan yang jelas dan pragmatik dalam membangunkan hubungan United Kingdom (UK)-China. – AFP

    Rishi Sunak semasa meninggalkan pejabat kempen di London pada 20 Julai 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...