Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Syafiq Kyle kongsi pengalaman latihan komando

    Seminggu jalani latihan bersama pasukan Komando VAT69 di Ulu Kinta, Perak memberi pengalaman luar biasa buat pelakon Syafiq Kyle bagi menjayakan filem Takluk: Lahat Datu.

    Syafiq atau Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, 32, berkata, sepanjang menjalani latihan bersama barisan pelakon lain, mereka melalui proses yang disifatkan sebagai mencabar. Kata Syafiq, latihan yang diberikan itu juga memberi semangat untuk membiasakan diri ketika berada di lokasi penggambaran sebenar iaitu di Lahad Datu, Sabah.

    “Memang penuh dengan latihan agresif dan intensiti tapi itu yang membina semangat kami apabila berada di lokasi Lahad Datu. Kami menjalani penggambaran di lokasi sebenar. Kalau anda pernah pergi perkampungan Kampung Air, ia bukan satu tempat yang selesa. Dengan persediaan latihan yang kami sudah lakukan membuatkan kami lebih bersedia untuk berada di sana lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca panas, hujan,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Syafiq turut berkongsi cabaran membawakan watak utama sebagai DSP Zambri yang perlu memberikan arahan kepada barisan komando sebenar. Aktor berkenaan memberitahu dia banyak menerima tunjuk ajar daripada Komando VAT69 bagi mendalami karakter dan peranan sebenar sebagai seorang askar polis.

    “Saya berlatih dengan pasukan komando, saya dapat banyak input daripada mereka. Input yang diberi itu sangat membantu saya mendalami watak. Perkara yang paling mencabar adalah saya perlu mengetuai pasukan komando sebenar dalam filem ini. Pelakon hanya tiga barisan di hadapan tetapi yang selebihnya semua ialah anggota komando sebenar. Saya banyak bertanya kepada komando daripada segi percakapan dan tindakan saya adakah sama seperti peranan sebenar mereka,” ujarnya.

    Kongsi Syafiq lagi, penggambaran filem ini turut disertai oleh komando yang pernah terlibat dengan insiden berlaku di Lahad Datu. Ia sekali gus memberikan kelebihan buat barisan pelakon dalam menghayati setiap babak yang dilakonkan.

    “Ia merupakan kelebihan buat barisan pelakon kerana kami dapat berkongsi pengalaman sekali gus membantu saya untuk menggerakkan karakter yang dibawa. Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan komando-komando ini. Mereka sangat rendah diri. Saya banyak belajar dengan mereka tentang kawasan pedalaman, jenayah dan tragedi yang berlaku di sana,” katanya. – Agensi

    Syafiq teruja dapat kongsi pengalaman bersama komando VAT69. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda